Gandingan tulisan dan lukisan A. Samad Said yang membisikkan warna

“Jejari waktu berkisar
gementar dalam debar.” ~ A. Samad Said

Jika mutiara kata dan gambar menjadi trend terkini di arena perbukuan, anda disarankan membaca Bisik Warna. Tulisan yang digandingkan dengan lukisan karya Datuk A. Samad Said (atau lebih dikenali dengan nama Pak Samad) mampu membawa kita merenung jauh ke dalam diri dan juga ke dalam kehidupan itu sendiri.

Seperti awal katanya, Pak Samad menjelaskan bahawa Bisik Warna mempunyai semangat dan hasrat yang berbeza dari buku-buku yang seumpamanya. Melaluinya, beliau menggabungkan lukisan spontan diiringi oleh mutiara kata yang juga tercipta secara spontan. Beliau mahu membuktikan bahawa lukisan adalah tulisan batin, sementara tulisan pula adalah lukisan zahir. Menurut beliau lagi, tulisan dan lukisan berhubungan secara aneh untuk menyampaikan gelodak dan halus rasa seorang seniman.

Saya bersetuju dengan pendapat tersebut kerana bagi saya, lukisan dapat memberi  gambaran yang lebih mendalam kepada mutiara kata Pak Samad yang singkat tetapi bermakna, suatu nilai-tambah yang dicari oleh penerbit juga peminat seni, yang saya kira agak kekurangan di Malaysia ini.

“Beburung berdecip girang
menyambut fajar menjelang.”
-halaman 45.

Seperti yang telah kita sedia maklum, Pak Samad suka beriadah ke taman-taman, juga ke kedai buku atau panggung wayang dengan menggunakan pengangkutan awam, dan mutiara kata (juga lukisan) di atas terhasil dari pengamatan beliau ketika itu. Desakan seni bukan sahaja timbulnya di luar sana, adakalanya ianya terkerlip ketika beliau berkhusyuk menelaah buku, tidak kurang juga yang terpancar melalui mimpi. “Dunia kata dan warna memang mempunyai keganjilannya tersendiri!” ujarnya lagi.

Saya mengamati proses beliau menulis puisi-puisi di dalam buku bertajuk Dirgahayu Tun Mahathir, dan amat terpikat dengan cara beliau meranumkan dan menyantunkan kata-kata lapis demi lapis supaya tidak ternampak melampau. Justeru, Bisik Warna melalui proses yang sama. Menurut beliau, sebahagiannya beransur ranum, sebahagiannya telah pun ranum dan ada juga keraguan jika sebahagiannya masih mentah. Saya faham ini kerana apabila membaca 77 Hala Tuju karya Zaen Kasturi, Zaen akui yang beliau mengambil masa sedekad untuk mencipta 77 buah puisi. Di dalam buku Dirgahayu Tun Mahathir, Pak Samad mengambil masa 12 hari untuk mencipta dan meranumkan satu puisi. “Jika mampat ranum, Alhamdulillah; dan jika ia masih lagi mentah, pastilah ia masih tetap boleh diperhalusi lagi sehingga matang,” ujar Pak Samad merendah diri.

“Azan sequdus suara
bergetar jernih merdunya.”
-halaman 41

Ketika berjalan ke masjid juga boleh terlahirnya kata-kata mutiara dan lukisan yang memancarkan cahaya begitu indah.

Mengenai Bisik Warna
Terbitan bersama: Wira Bukit dan ITBM
Kulit Keras.
108 mukasurat
ISBN: 978-983-3922-15-4

Mengenai Datuk A. Samad Said
Kerajinannya menghasilkan karya dan ketekunannya membaca karya-karya orang lain menjadi titik penentu A. Samad Said ditabalkan sebagai Sasterawan Negara yang versatil di ujana kesusasteraan tanah air. Dalam karya A. Samad Said, khalayak akan melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang pengarang yang menuangkan nurani seninya. A. Samad Said berpendapat bahawa untuk melahirkan karya, karyawan tidak hanya bergantung pada bahan dan bakat serta kekuatan fikiran sahaja tetapi yang penting ialah pembacaan dan pengalaman yang luas.

Abdul Samad bin Muhammad Said atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura. A. Samad Said memperoleh pendidikan formal di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946). Kemudian A. Samad meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution hingga memperolehi sijil Senior Cambridge (1956).

Pengalaman kerjaya A. Samad Said bermula sebagai kerani, pengarang di Utusan Melayu, Berita Harian, Kumpulan The Straits Times, dan ketua pengarang akhbar Warta Teberau. Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menjadi penulis sepenuh masa yang aktif berkarya.

Sejak di bangku sekolah lagi minatnya terhadap sastera mula berputik apabila beliau berjinak membaca karya sastera dalam dan luar negera geperti karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel seperti Oliver Twist, Wuthering Height, dan Almayer’s Folly. Beliau juga menggunting dan menyimpan cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya sendiri. Kegiatan menterjemah beberapa karya asing juga secaran tidak langsung memperkuatkan minatnya terhadap kesuasteraan

Bermula detik alam persekolahan hingga kini A. Samad Said tida jemu menghasilkan puluhan karya dalam genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei untuk mewarnakan dunia sastera di persada tanah air dan antarabangsa. Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku dan Warkah Eropah, AL-AMIN , Riwayat Hidup Rasululiah s.a.w dalam Puisi (1999) dan kumpulah puisi Suara Dari Dinding Dewan (2003) terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Sentuhan karyanya yang terbaharu ialah novel Adik Datang, kumpulan puisi Dirgahayu Dr Mahathir dan kumpulan puisi kanak-kanak Rindu Ibu yang diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn Bhd.Beberapa karyanya diadaptasi menjadi teater/drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie, dan Memori Di Hadapan Pulau.

Pencapaian dan sumbangan A. Samad Said dalam memperkayakan dan memertabatkan kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan kerajaan apabila beliau menerima pelbagai anugerah. Antaranya termasuklah Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985), dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999).
Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A.Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

(Sumber: Dewan Sastera Ogos 2003)

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.