Rahimidin Zahari: Perihal Wayang Kulit dan Kehidupan

“Semakin ditelusuri jauh ke dalam ruang dan relung tradisi bangsa sendiri, semakin terasa bahawa sangat banyak rahsia yang tersurat dan tersirat yang perlu ditekuni dan dipelajari. “- Rahimidin Zahari.

Tiga tahun dahulu, saya bertemu beliau di pejabatnya yang penuh dengan buku untuk menghulurkan lukisan yang telah dibelinya. Lalu beliau menghulurkan senaskah buku, Kumpulan Puisi: Laut Tujuh Gelombang Buih. “…puisi-puisi saya yang tidak sepertinya,” bisik tintanya.

Kumpulan Puisi Laut Tujuh Gelombang Buih, terbitan ITBM 2013, dihiasi dengan 30 buah puisi yang diangkat daripada epik Wayang Kulit Kelantan, khususnya Ramayana. Namun menurut Rahimidin, wayang kulit dalam hubungkaitnya dengan kumpulan puisi ini sangat berbeza kerana wayang itu hanya sebagai metafora semata-mata—isu dan permasalahan sebenarnya yang sangat meluas hingga melangkaui kosmologi Alam Melayu itu sendiri. Hal ini dihubungkan beliau dengan sifat puisi-puisi di dalam buku ini, yang berselindung disebalik lambang dan petanda.

“Kejahatan pada dewa
Membohongi rakyatnya
Dia tetap wira bangsa.
Diberangusnya bahasa
Ke neraka, para dewa
Tetap dipuja.”
-Kejahatan Para Dewa, halaman 32

Puisi di atas adalah salah satu contoh yang paling mudah untuk pembaca mentafsirkan lambang dan petandanya–untuk merasakan kesan keindahannya. Gagal atau lancarnya pentafsiran berpaksi kepada pengetahuan asas pembaca tentang metafora wayang atau sandiwara kehidupan itu sendiri. Saya kira anda faham maksud disebalik puisi di atas.

Lagi contoh puisi beliau yang berteraskan metafora wayang:

“Sihir apakah yang engkau kirimkan
lewat desir angin dan hempas gelombang
menusuk dan merobek sukma batini
guncuran darah anak-anak Palestina
bertompok di langit –malam tanpa
bintang dan siang tanpa matahari.”
-Sihir Rawana (iii), halaman 40.

Jika dilihat pada puisi di atas, Rawana adalah lambang kedurjanaan bagi Rahimidin dan dari pentafsiran saya sendiri, beliau menggambarkan dirinya sebagai Hanuman di dalam puisinya bertajuk Akulah Hanuman, halaman 17.

“Akulah Hanuman
Musuhku Rawana
Dan sekalian bota-bota
Bapa sekalian kejahatan
Bapa sekalian kedurjanaan…”.

Sungguh, Hanuman ini mengaum menegakkan bangsa-bangsa yang tertindas oleh Rawana dengan cara puitisnya tersendiri.

Walaupun begitu, Rahimidin merasakan kekayaan khazanah tradisi itu tidak harus dibiarkan mereput dimakan hari dan tanah. Sejumlah puisi di dalam kumpulan ini adalah sebagai satu kaedah untuk mendokumenkan tentang wayang kulit dari sudut pandangan beliau sebagai seorang pencinta seni persembahan tersebut. Satu contoh puisi untuk menerangkan maksud hatinya:

“Kurindukan wayang bertabuh
Di tanah padi tugal
Selepas musim menuai.
Kurindukan kekehan
Wak Long dan Pak Dogol
Membuat kelakar cerita.
Kurindukan rebab makyung
Jamu kenduri ramai menderu
Di anjung setana.”
-Kurindukan, halaman 07.

Kerisauan Rahimidin tentang kepupusan yang sedang menanti wayang kulit ternyata ketara. Ujarnya, keupayaan seorang dalang tidak dapat bertahan dengan hadirnya teknologi yang rakus dan canggih seperti televisyen, panggung wayang dan yang seumpamanya. Dalang harus kreatif di dalam mencari ruang untuk memastikan wayang kulitnya bertahan dari generasi ke generasi; justeru wujudnya buku Kumpulan Puisi: Laut Tujuh Gelombang Buih sebagai salah satu cara terpilih beliau.

Sebagai seorang dalang wayang kulit, Rahimidin sendiri sentiasa mencari jalan untuk memastikan agar wayang kulit itu tidak pupus. Ini terbukti dengan terbitnya buku Wayang Kulit – Shadow Play The Epic of The Malaysia Archipelago terbitan ITBM, 2013. Buku mock-up Wayang Kulit ini di bawa dan dipamerkan di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt, Jerman, pada tahun sebelumnya di mana beliau sendiri hadir menjadi dalang persembahan wayang kulit di sana.

Catatannya di perenggan terakhir di dalam buku Kumpulan Puisi: Laut Tujuh Gelombang Buih ini amat menyentuh perasaan:

“Wayang itu sendiri adalah kiasan hidup dan kehidupan—manusia dan kemanusiaan. Di sanalah nanti kita akan mengenang masa lalu, dan merenung masa depan. Kalaulah ada setetes air mata menitis di pipi, maka insaflah kita bahawa waktu itu telah berlalu pergi. “ – Salam setulus puisi, Rahimidin Zahari, 22 Mac 2013.

Buku ini telah memenangi Hadiah Kedua, Sayembara Penulisan Novel, Cerpen dan Puisi, ITBM-Pena-Berita Harian.

Mengenai Kumpulan Puisi Laut Tujuh Gelombang Buih
Terbitan: ITBM
Kulit Nipis
42 mukasurat
ISBN: 978-967-430-201-6

Tentang Rahimidin

Anak kelahiran Kampung Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu, Kelantan, Rahimidin Zahari (1968-14 Mei 2015) adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Seni Halus daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Diploma Pengurusan Seni daripada Universiti Malaya (UM).

Beliau telah menghasilkan karya dalam semua genre sastera serta memenangi pelbagai hadiah kesusasteraan di peringkat kebangsaan seperti Hadiah Penulis Muda Terbaik Cerpen ESSO-GAPENA, Hadiah Puisi Kebangsaan SHAPADU-GAPENA, Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA, Anugerah Sastera Islam Darul Iman, Hadiah Puisi Islam Yayasan Pelajar, Hadiah Sastera Kelantan, Hadiah Utusan Exxon-Mobil, Hadiah Sastera Perdana, penerima Anugerah Penghargaan MASTERA 2013 dan Sayembara Penulisan ITBM-PENA-BH 2013.

Menghasilkan sebanyak 20 buah buku perseorangan dan lebih 60 buah buku kumpulan karya bersama penulis lain serta 11 buah buku kumpulan puisinya telah diterbitkan, antaranya Lakaran Kampung, Sekepal Tanah, Matahari Berdoa, Di Kebun Khatulistiwa, Zamok Iz Peska (Istana Pasir – sebuah kumpulan puisi terjemahan dalam bahasa Rusia di Moscow), Aksara, Perjalanan Salik, Rawana (dwibahasa Melayu-Inggeris), Perahu Fansuri, Bayang Beringin dan Laut Tujuh Gelombang Buih. Puisi beliau telah diterjemahkan ke dalam beberapa bahasa dunia seperti Inggeris, Rusia, Portugis, Korea, Arab, Thai dan Perancis.

Buku beliau seperti Makyung: The Mystical Heritage of Malaysia (ITNM, 2010) dan Wayang Kulit: Shadow Play the Folk of the Malay Archipelago (ITBM, 2013) telah dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Frankfurt (2010 & 2012).
Beliau pernah bertugas sebagai Pengurus Panggung di Istana Budaya dan Editor Majalah PENTAS di samping pernah memegang jawatan Bendahari Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Munsyi Dewan (Sastera) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau meninggal dunia kira-kira jam 4 petang pada 14 Mei 2015 di Hospital Sungai Buloh, pada usia 47 tahun kerana pendarahan di otaknya akibat serangan darah tinggi.

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.