Membaca Buku?

“Dunia ini indah dengan adanya buku.” Demikian saya pernah berkata begitu kepada seorang rakan yang tidak gemar membaca. Dia mencebik sambil meneruskan tumpuannya kepada gajet di tangan.

“Sebab engkau kerja menulis, sebab itu suka buku. Ada orang kerjanya tak perlukan buku dan bacaan.” Dia mengeluarkan pendapat.

Saya tidak setuju tetapi enggan bergaduh dengannya.

***

“Mahu periksa ya?” Itu soalan penjual buku di sebuah kedai buku kecil di pinggir bandar, ketika saya memborong beberapa buah buku fiksyen dan bukan fiksyen.

“Periksa? Tidaklah. Saya sudah bekerja. Saya beli buku sebab suka baca buku,” jawab saya dengan senyum manis.

Penjual buku angguk-angguk dan menunjukkan ‘thumbs up’. “Bagus, bagus. Orang pandai banyak baca buku,” katanya lagi.

Saya senyum sahaja. Rasa bangga kerana seorang penjual buku meraikan buku dengan cara sepatutnya. Ada banyak kedai buku yang saya singgahi, penjual bukunya tidak mesra malah tidak tahu apa-apa ketika ditanya tentang buku.

***

“Pelik la awak semua ni. Asyik baca buku sahaja. Tak penatkah?” Soal salah seorang ahli kembara yang sama-sama berkereta api dengan kami menuju ke utara tanah air.

Kami terpempan dan kemudian menyoal sesama kami, “Pelikkah jika manusia baca buku? Apa sudah jadi dengan dunia ini?”

****

Rumah tanpa buku, bagai jasad tanpa jiwa.

-Marcus Tullius Cecero – Ahli Falsafah Roman (106-43 BC)

Sehingga hari ini, soal buku, soal baca dan soal industri buku di negara kita seolah-olah menjadi suatu hal yang aneh – yang sering terasing seperti alien. Ya, dalam kelompok penulis dan penerbit, buku adalah ‘makanan’ mereka.

Tapi dalam kelompok masyarakat yang lebih luas, membaca buku dan memegang buku seolah-olah seperti sebuah keanehan. Melihat orang membaca buku seperti melihat alien, seperti melihat susuk manusia terpinggir oleh masyarakat, seperti melihat seorang perempuan kesepian, seperti melihat seorang lelaki kekecewaan.

Apa sudah jadi dengan masyarakat hari ini? Adakah penangan gajet dan gelombang Internet membuatkan kita tidak kenal istilah ‘buku’ dan ‘membaca’.

Di mana anda sekarang? Di stesen bas, di pasar raya, di taman permainan … di mana jua, ada nampak sesiapa baca buku?

Kongsikan dengan kami.

About Laila Nufa 18 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.