Keindahan budaya Indonesia di dalam Timun Emas karya Evi Shelvia

Pertama kali melihat kulit buku Timun Emas karya Evi Shelvia, saya berasa teruja. Butiran ilustrasinya begitu indah, lalu, saya jatuh cinta dan membawanya pulang.

Mengikut dongeng asal Timun Emas, raksasanya dikenali sebagai Buto Ijo, raksasa seram berkulit hijau. Namun menurut Evi Shelvia, untuk buku ini beliau telah menukarkan Buto Ijo kepada Raksasa Puri, yang diinspirasikan dari watak di dalam tarian Topeng Keras dan Jauk Manis dari Pulau Bali. Di samping itu, inspirasi lain datang dari wayang golek, batik dan kuda kepang. Menurut penulis/ilustrator yang berasal dari Bandung ini, beliau cuba menerapkan keindahan budaya Indonesia dan juga mempermudahkan jalan ceritanya supaya lebih mesra dengan pembaca kanak-kanak.

Diterbitkan oleh Penerbit Oyez!Books (Oyez) dengan Bahasa Malaysia sebagai bahasa penghantar, buku ini menjanjikan kelainan kerana ianya diceritakan oleh Evi di dalam bentuk yang puitis.

Cerita Timun Emas mengisahkan tentang seorang perempuan yang inginkan seorang anak setelah kematian suami.  Oleh kerana desakan yang mendalam, dia memberanikan dirinya menemui Raksasa Puri yang boleh membantunya mendapatkan seorang bayi dari benih timun sakti. Raksasa Puri mengenakan syarat; anak itu mestilah dikembalikan semula kepadanya apabila cukup dua ratus purnama.

Setelah menanti beberapa ketika, bayi pun muncul dari timun emas yang sudah ranum lalu diberi nama Timun Emas. Hari demi hari, Timun Emas menjadi dewasa dan tibalah masa untuk Raksasa Puri datang menuntut haknya semula. Maka bermulalah cerita bagaimana seorang ibu dengan bantuan seekor kuda kepang cuba sedaya upaya melindungi anaknya dari di ambil oleh raksasa. Bagaimanakah caranya? Adakah mereka berjaya menewaskan Raksasa Puri? Semuanya akan terjawab jika anda memiliki buku Timun Emas ini.

Lagi ilustrasi menarik di dalam buku ini:

© Evi Shelvia

Ketika ditanya mengenai proses menyiapkan buku ini, Evi berkata bahawa prosesnya didahului dengan kerja-kerja penyelidikan sebelum beliau menulis cerita. Setelah itu, cerita dipecahkan mengikut mukasurat dan dilakarkan di atas papan-cerita untuk dijadikan rujukan ilustrasi setiap lembaran. Proses ini mengambil masa lebih dari lima bulan kerana sebagai seorang ibu, beliau juga harus membahagikan masa untuk menguruskan tiga orang anak yang masih bersekolah.

Timun Emas
Terbitan: Oyez!Books
Kulit Keras
32 mukasurat
270 x 220mm
ISBN: 9789670999142

Evi Shelvia
Evi Shelvia adalah seorang pelukis dan penulis buku kanak-kanak berasal dari Indonesia yang sudah lebih 8 tahun menetap di Malaysia. Oleh kerana minat yang mendalam terhadap lukisan, buku, budaya dan kanak-kanak, Evi mula melukis dan menulis buku kanak-kanak sejak beberapa tahun lepas. Beberapa buah bukunya telah terbit di Indonesia, Malaysia dan Amerika Syarikat. Beliau juga telah memenangi beberapa penghargaan di Malaysia, Indonesia dan Singapura. Di masa lapang, Evi gemar melukis sketsa dan tidak pernah meninggalkan rumah tanpa buku sketsa dan alat melukis.

Oyez!Books
Oyez!Books adalah penerbit buku kanak-kanak yang bertapak di Kuala Lumpur Malaysia. sejak tahun 2007. Oyez telah menerbitkan lebih 100 buku kanak-kanak yang memaparkan kisah-kisah warisan dan budaya tempatan yang ditulis oleh penulis dari Malaysia, juga Asia. Bermula dengan penerbitan buku-buku di dalam Bahasa Inggeris, Oyez kini  telah mula mengumpul cerita-cerita rakyat di dalam Bahasa Malaysia untuk diterbitkan. Oyez dikenali di kalangan pembaca sebagai penerbit yang menerbitkan buku-buku berkualiti tinggi yang kebanyakannya memenangi anugerah di dalam dan luar negara. Oyez juga aktif mempromosikan buku-buku terbitan mereka ke luar negara sejak tahun 2008. Beberapa buku-buku terbitan mereka telah diterbitkan ke dalam beberapa bahasa.

About Poeta 17 Articles

Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.