Tip Menulis Buku Bergambar

Menulis buku bergambar tampak mudah namun sebenarnya ianya adalah tugasan yang paling susah.

Jika teks sesebuah novel boleh mempunyai lebih dari 10,000 perkataan tetapi teks buku bergambar mungkin hanya mempunyai 100 patah perkataan sahaja (atau maksimum 1000 patah perkataan). Perkataan yang digunakan mesti dipilih dan disusun dengan rapi. Jika anda gemar membaca buku puisi atau haiku, anda akan lebih memahami kepayahan memuatkan sedikit perkataan di ruangan yang luas.

Ini ada beberapa tip oleh Emila Yusof yang saya ambil dari status FB beliau (dengan izin):

  1. Jumlah perkataan. 500-600 patah perkataan adalah yang sebaiknya. Ada penerbit yang menerima manuskrip 1000 patah perkataan, namun adalah elok jika manuskrip anda digenapkan kepada 600 patah perkataan. Format teks sesebuah buku adalah untuk 32 mukasurat dengan satu atau dua perenggan setiap muka atau lembaran (dua muka bercantum). Dengan mukasurat yang dimuatkan dengan prelim, tajuk dan dedikasi setiap satu, ruang untuk anda berkarya adalah dari 25 hingga 28 muka sahaja.
  2.  Plot. Mudahkan jalan penceritaan, berpandukan satu situasi permasaalahan yang mungkin memerlukan beberapa tindakan.
  3. Berfikir secara visual. Apabila anda menulis, bayangkan ilustrasi yang akan mengiringi teks anda.
  4. Pembahagian cerita. Fikirkan bagaimana anda mahu memecahkan cerita kepada beberapa mukasurat. Adalah penting untuk buku bergambar mempunyai ritma yang teratur, drama yang terancang dan pembahagian cerita yang tersusun agar pembaca mahu menyelak ke mukasurat seterusnya .
  5. Penggunaan perkataan yang menarik. Jangan pandang rendah pada keboleh kanak-kanak untuk memahami sesuatu perkataan.
  6. Terus mulakan cerita pada muka pertama. Tidak perlu ada muka pengenalan.
  7. Tidak perlu menulis dengan keterangan terperinci. Sebagai contoh: pertama, ‘Jenab terjumpa buku’ lebih sesuai dari kedua, ‘Jenab terjumpa buku di atas bangku di taman itu’. Dengan penggunaan ayat yang pertama, anda bolehlah melukis Jenab yang sedang membelek buku yang ditinggalkan di sebuah bangku. Anda juga boleh memenuhi ilustrasi dengan menambah subjek itik, pokok dan orang-ramai sedang berjalan. Dari sini pembaca sudah dapat meneka Jenab sedang berada di mana.
  8. Elakkan dari menggunakan perkataan senada di penghujung. Jika jalan penceritaan anda berbentuk pantun atau sajak, elakkannya kerana penerbit mendapati ianya sukar untuk menterjemahkannya secara senada juga ke bahasa asing.
  9. Baca, baca dan baca lagi. Perbetul dan tulis semula sehingga anda berasa tiada apa lagi yang boleh diperbetulkan. Ulang-baca selang beberapa hari. Pasti ada perenggan yang anda boleh perbaiki.
  10. Tema. Buku bergambar yang baik bolehlah berlandaskan sesuatu tema yang kuat dan boleh digunapakai secara global. Contoh tema: Tolenrasi, keinginan mencuba sesuatu yang baru, pengembaraan, haiwan, autisme, keberanian, kesyukuran, kesilapan, perang/keamanan dan pelbagai lagi.

Seeloknya, buku bergambar harus mempunyai kekuatan untuk mengubah cara pemikiran dan juga memberi peluang untuk pembaca mempelajari sesuatu dari perspektif yang baru.

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*