Tip Asas Penulisan yang WAJIB Dibaca.

 


Banyak tip menulis boleh diperoleh dengan mudah melalui carian dalam Internet. Google sahaja ‘tip menulis’, anda akan menemui maklumat yang dicari.

Namun, tahukah anda, persediaan sebelum memulakan penulisan amat penting? Seperti memulakan perjalanan yang jauh dan panjang, apakah persediaan yang perlu diambil kira? Tentulah kita akan merancang mahu ke mana, pakaian yang hendak dibawa, peta, bekalan makanan dan kewangan, persediaan mental dan fizikal diri, tujuan perjalanan dan banyak lagi.

Begitu juga dengan penulisan. Menulis bukan kerja main-main. Penulisan bukan sahaja suatu ‘acara’ eskapisme diri semata-mata, tetapi juga mempunyai tanggungjawab sosial kepada pembaca kelak. Oleh itu, mari kita lihat beberapa persediaan penting sebelum menulis.

  • Persediaan SEBELUM menulis:
  1. Hal terutama sebelum mengambil keputusan untuk menjadi penulis dan memulakan penulisan ialah MEMBACA, MEMBACA, MEMBACA, MEMBACA dan kemudian barulah menulis. Demikian hal ini pernah dititipkan oleh Sasterawan Negara, A. Samad Said. Kunci utama kepada pintu penulisan ialah perlu membaca dan mendapatkan sebanyak mungkin maklumat.
  2. Sebelum menulis juga, sebaik-baiknya pilih satu atau dua bengkel penulisan  sama ada secara terus (face to face), secara dalam talian (online), atau ‘personal coaching’  yang menawarkan pelbagai modul pengajaran seperti asas penulisan, memilih penerbit, mengetahui hal penting semasa menulis, pemasaran buku dan banyak lagi.
  3. Semak senarai e-mel atau alamat penerbit untuk penghantaran karya. Beli majalah dan akhbar berkaitan untuk mendapatkan gambaran jelas bentuk dan tema karya yang diingini oleh mereka.  Semak dan kaji rumah penerbitan yang ingin dimasuki. Jangan ‘salah rumah’!
  4. Kenali bakat sendiri, iaitu cenderung kepada penulisan kreatif atau umum. Genre novel, puisi, cerpen, esei, rencana kritikan, travelog dan lain-lain lagi. Dengan ini pemfokusan kerja penulisan lebih mudah.

* Jika anda menulis, dan kemudian terhenti pada perenggan berikutnya, nyata, isunya bukan kerana ‘writer’s block’ tetapi disebabkan kurang maklumat dan bahan bantu dalam fikiran untuk anda meneruskan penulisan.

  • Persediaan SEMASA menulis.

Apabila maklumat sudah banyak dan anda bersedia mahu memulakan penulisan, maka anda boleh bermula dengan;

  1. Tenangkan diri dan berdoa agar tulisan tidak menjadi ‘musibah’ kepada pembaca, doa untuk kelancaran dan kejelasan setiap patah perkataan serta hasilnya kelak menjadi pahala untuk semua.
  2. Sediakan semua bahan bantu di meja menulis supaya senang dirujuk. Ada penulis yang menyimpan maklumat penting bahan dalam sebuah fail (folder) komputer. Ada pula yang menulis maklumat penting di atas kertas ‘post it’ berwarna warni dan ditampalkan di dinding. Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menyimpan dan menggunakan bahan bantu ini.
  3. Kamus amat penting! Sekurang-kurangnya letakkan sebuah kamus di meja menulis untuk rujukan dan semakan perkataan. Dewan Eja Pro ialah perisian e-kamus yang amat berguna selain kamus-kamus eletronik lain. Penulis yang bagus adalah penulis yang tidak menyusahkan editor. 😛
  4. Sediakan makanan ringan dan minuman yang digemari di meja kerja supaya tidak banyak pergerakan ke dapur apabila lapar atau haus. Sebaik-baiknya sediakan sebotol air mineral, secawan kopi (atau minuman kegemaran), coklat atau biskut, kerepek dan snek. Elakkan makanan yang basah dan boleh mencomotkan meja kerja.
  5. Jika belum habis menulis, (atau sudah habis), simpan fail di dalam ‘folder’ yang  tepat. Contoh ‘KARYA SIAP’.  Jangan lupa buat simpanan fail di medium lain seperti e-mel kepada diri sendiri dan juga simpan di dalam ‘thumb-drive’.
  6. Proses pengeraman. Karya yang sudah siap ditulis, boleh sahaja terus dihantar kepada penerbit atau disimpan seketika. Dalam fasa ini, penulis boleh sahaja meminta rakan lain menyemak dan memberi pendapat mengenai keseluruhan tulisan atau penulis sendiri buat semakan ejaan, fakta, konsistensi nama watak, semakan keseluruhan.
  7. Hantar kepada penerbit. Surat dan e-mel yang dihantar perlu lengkap dengan; Surat iringan, maklumat diri (nama penuh, nama pena, alamat surat-menyurat, nombor telefon, maklumat bank , perakuan penulis-   karya yang dihantar adalah bukan karya ciplak atau plagiat, juga belum pernah diterbitkan di mana-mana ruang online dan offline).

Demikian beberapa tip awal penulisan yang penting, tetapi jarang diambil berat oleh bakal penulis.

Semoga bermanfaat.

Selamat menulis!

About Laila Nufa 18 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.