Kita Ini Wanita Istimewa

Ketika dia menerima bungkusan berbentuk buku-buku yang saya pinjamkan dan sebahagiannya saya hadiahkan kepadanya, dia terus menelefon saya.

“Terima kasih atas keprihatinan saudari. Saya amat hargainya. Dan nota kecil ini, ada lukisan bunga teratai, amat mengharukan saya. Kenapa bunga teratai?”

Dalam sekian peristiwa yang mengharukan antara saya dengan sahabat-sahabat wanita saya, dia inilah yang paling saya kagumi. Kecekalannya menentang penyakit berbahaya diterima sebagai ujian Allah kepadanya.

Bunga teratai. Sebetulnya, bunga itulah yang terlintas dalam fikiran ketika saya memikirkan kawan yang seorang ini. Bunga teratai seperti yang diketahui umum begitu cantik, hidup dua alam – darat dan air. Teguh dan lembut walaupun akarnya tidak menjejak bumi. Begitulah saya mengibaratkan kawan yang kuat itu – seorang wanita cekal. Dan saya pasti di luar sana terlalu banyak cerita tentang wanita yang boleh kita ambil iktibar semangat dan kecekalan mereka.

_____

Hari ini meraikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2017 yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun.  Perlukah meraikan wanita? Perlukah ada hari-hari tertentu meraikan wanita? Sudah tentulah jawapannya pelbagai. Namun tidak salah kita memilih satu hari antara sekian banyak hari untuk meraikan wanita-wanita yang menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Sejak Hawa dicipta, keistimewaan wanita tidak boleh dinafikan. Terlalu banyak ketokohan wanita diperkatakan dalam sejarah melalui kehebatannya dalam pelbagai bidang – pendorong kepada kejayaan lelaki, kepimpinan, pakar dalam bidang-bidang profesional, menjadi usahawan sehinggalah dalam bidang pembangunan keluarga sehingga yang memegang jawatan ‘suri rumah’ juga tidak ketinggalan dihargai sebanyak-banyaknya. Pendek kata wanita wujud di mana-mana seiring peranannya dengan kaum lelaki.

Di dalam teks-teks sejarah dan buku-buku fiksyen atau bukan fiksyen juga, watak wanita pasti ada walau sekecil mana pun. Terutama dalam teks sastera, wanita melalui watak dan perwatakan yang digambarkan, biasanya bukan wanita yang calang-calang.

Saya pernah mendengar bahawa wanita (Hawa) ialah ibu kepada segala manusia di muka bumi ini. Dengan itu, tidak hairanlah jika hal-hal yang bersangkutan dengan kewanitaan selalu diambil kira kerana wanita merupakaan ciptaan yang bukan sia-sia.

Akhirnya, saya suka mengibaratkan wanita sebagai bunga – yang menyerikan dan mewangikan bumi – penuh dengan bentuk dan warna tersendiri serta mempunyai fungsi yang pelbagai dari aspek aromanya dan juga khasiatnya. Tanpa bunga, bumi hilang serinya.

Demikian saya menghargai setiap wanita yang ada di sekeliling, dan saya selalu bersyukur dilahirkan sebagai wanita di negara yang meraikan kebebasan wanita dalam menikmati kehidupannya.

Mari raikan wanita-wanita di sekeliling kita.

About Laila Nufa 19 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.