Novel Nipis Lebih Puas?

“Tebalnya! Patutlah hutan di negara kita cepat habis. Membazir kertas.”

Demikian reaksi seorang kawan apabila saya membaca sebuah novel yang agak tebal – 450 muka surat.

“Tak penat ke?” tanya dia lagi.

Saya menggeleng sambil berfikir, ‘Masih adakah novel yang nipis sekarang ini? Setahu saya novel-novel masa kini kesemuanya tebal lebih kurang 250 muka surat sehingga ke 600-700 muka surat! Lagi tebal lagi nampak gah dan bagus. Susun di rak pun cantik sahaja. Tapi, novel tebal kalau isinya kosong, tak guna juga kan?

Balik ke rumah, saya selongkar rak buku. Terjumpa beberapa buah novel yang nipis. Cerita Calon Arang karya Pramoedya Ananta Toer yang mempunyai jumlah muka surat 94 halaman. Saya baca. Kemudian saya capai pula novel daripada penulis yang sama; Bukan Pasar Malam (103 muka surat), Subuh (70 muka surat) dan seterusnya menemukan dengan beberapa novel lain lagi.

Pendapat saya? Benar, ada kepuasan lain yang saya nikmati dengan novel-novel nipis ini.  Selain masa yang semakin pendek menghabiskan sebuah novel, saya juga ditemukan dengan cerita-cerita yang besar tetapi pendek penceritaannya. Tuntas dan padat!

Keesokan harinya, saya membuat carian di Internet dan menemui lebih banyak novel-novel nipis yang mengujakan; yang sudah tentu sebehagiannya ada dalam simpanan saya tetapi saya tidak sedar jumlah muka suratnya kerana sebagai seorang pembaca, apa yang saya mahukan ialah ceritanya tanpa mempedulikan jumlah muka suratnya.

Antara yang saya temui:

  1. Hujan Bulan Juni – Sapardi Djoko Damono (144 ms)
  2. Cerita Calon Arang – Pramoedya Ananta Toer (94 ms)
  3. Bukan Pasar Malam – Pramoedya Ananta Toer (103 ms)
  4. Midah Si Manis Bergigi Emas – Pramoedya Ananta Toer (132 ms)
  5. Bulan Tak Bermadu di Fatehfur Sikri – A. Samad Said (97 ms)
  6. Sutan Baginda –  Shahnon Ahmad (115 ms)
  7. The Old Man and The Sea – Ernest Hemingway (132 ms)
  8. Tivi – Shahnon Ahmad (117 ms)
  9. The Stranger – Albert Camus (123 ms)
  10. Rentong – Shahnon Ahmad (116 ms)
  11. Arus – Anwar Ridhwan (121 ms)
  12. Putera Gunung Tahan – Pak Sako (117 ms)
  13. A Tale of Two Cities – Charles Dickens Versi Longman Simplified (151 ms)
  14. Breakfast At Tiffany’s – Truman Capote (157 ms)
  15. Heart of Darkness – Joseph Conrad (111 ms)
  16. The Thirty-NIne Steps – John Buchan (126 ms)
  17. Bonjour Tristesse – Francoise Sagan (130 ms)
  18. A Life’s Music – Andrei Makine (106 ms)
  19. Tuck Everlasting – Natalie Babbit (139 ms)
  20. Jonathan Livingston Seagull – Richard Bach (95 ms)
  21. Stick Out Your Tongue (Versi yang ditapis) – (90 ms)
  22. My Side Of The Matter – Truman Capote (56 ms)

Demikian yang sempat disenaraikan dan saya percaya banyak lagi novel-novel nipis yang diterbitkan di dalam dan luar negara pada tahun 1980-an dan ke bawah. Setelah membaca sebahagian novel-novel nipis itu, saya akui, novel nipis lebih memuaskan (di samping menjimatkan masa).

Namun, ini tak bermakna novel tebal tidak bagus. Ia bergantung kepada individu sukakan novel nipis atau tebal. Terpulang. Ikut niat dan kesukaan masing-masing. Teringat seorang pelajar berkata kepada saya, “Setiap kali mahu keluar ke bandar, saya akan bawa sebuah novel untuk dibaca ketika menunggu bas. Dan saya suka bawa novel yang tebal – supaya nampak intelektual.”

Walaupun saya tergelak mendengar kata-katanya, tidaklah pula saya memperlekeh niat dan kesukaan orang lain.

Saya, kini lebih suka novel nipis – senang bawa ke mana-mana dan lebih fokus penceritaannya. Novel tebal? Entah. Sudah jarang saya temui novel yang memuaskan pembacaan, tebal pula tu. Sering kali momentum pembacaan tergendala dan akhirnya tak habis baca kecuali novel yang benar-benar bagus.

Akhirnya juga saya akui kata-kata kawan tentang novel nipis; memuaskan, menjimatkan masa dan memelihara hutan kita!

Harapan saya, tahun-tahun mendatang ini, novel-novel kita lebih nipis. 😛

Selamat membaca!

About Laila Nufa 19 Articles

Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.

4 Comments

  1. Ya, zaman berubah seiring cara manusia menghadapi kehidupan. Zaman serba pantas dan ingin cepat dalam semua hal memungkinkan novel juga dihabiskan dan mendapat kepuasan secepat mungkin. Adakah berbaloi kos pembuatannya? Adakah penulis dan penerbit dahulu mempunyai sudut pandang yang serupa dengan penulis dan penerbit sekarang dan masa akan datang? Sebagai alternatif dan mengggalakkan budaya membaca ada kemungkinan novel 100 muka surat masih relevan. Adakah rumah penerbitan yang mahu membuka ruang?

    • Sebenarnya tiada isu pun novel tebal atau nipis kan? Kita cuma mahukan cerita yang berkualiti. Kalau tebal pun okey. Nipis pun okey. Tapi sayang sungguh jika tebal tanpa isi. Masa tu kita fikir ruginya duit beli buku itu dan membazir kertas. 😛

  2. Kami di Moka Mocha Ink fokus menerbitkan novela di dalam bahasa Melayu. Antaranya REBEL (2015) oleh Saat Omar, POLAROID (2015) oleh Mohd Azmen, 86 (2015) oleh Wan Nor Azriq dan INSTA (2016) oleh Syahmi Fadzil.

    • Terima kasih perkongsian itu. Saya akan cuba baca nanti. 🙂

      Teruskan usaha memeriahkan buku di Malaysia.

Comments are closed.