Keterpesonaan Saifullizan terhadap burung gagak melahirkan wacana buat gagak semesta alam

“Sebagai seorang Islam, yang yakin bahawa alam ini adalah tanda-tanda untuk manusia berfikir tentang ilmu-Nya Yang Maha Luas, saya terus mencari hikmah mengapa burung gagak diturunkan oleh-Nya.” – Saifullizan Yahaya.

Begitulah pemerhatian pemuisi kelahiran Kampar, Perak, ini. Dan kita masih lagi meragui tentang kehadiran burung gagak sebagai makhluk Allah yang sama-sama diberi kebebasan untuk hidup di bumiNya. Kita adakan Ops Tembak Gagak untuk mengatasi isu kehadiran burung gagak. Kenapa? Kerana aduan manusia terhadap haiwan perosak itu. Jika kita meletakkan diri kita di dalam kasut burung gagak (maaf, burung gagak tidak memakai kasut), maksud saya jika kita letakkan diri kita sebagai seekor burung gagak, tidakkah manusia itu juga perosak? Jika bangsa gagak mengadakan Ops Patuk Manusia, sudah tentunya manusia perosak akan berkurangan. Saya sudah mula berfkir seperti burung gagak. Wallahu a’lam.

Subjek burung gagak dipilih oleh Saifullizan di dalam Kumpulan Puisi Aku Gagak ini keseluruhannya adalah kerana keinginan beliau untuk memberikan suara kepada burung tersebut dan mengkritik manusia yang kadangkala menjadi seperti Qabil dan Habil. Kisah Qabil dan Habil berkisar kepada pembunuhan pertama manusia kerana sikap pentingkan diri dan tamak. Allah SWT telah menghantar seekor burung gagak untuk mengajar Qabil bagaimana caranya mengebumikan mayat saudaranya Habil yang dibunuhnya. Kenapa Allah menghantar burung gagak? Burung gagak memiliki kecerdasan yang sangat tinggi dan dalam banyak perkara, burung ini mampu menggunakan logik untuk memecahkan masalah, mengatasi kecerdasan monyet.

Lalu beliau menjadi pemerhati burung gagak yang setia semenjak kecil, dan selain daripada keyakinan yang terbit dari permerhatian, beliau menemui buku kajian tentang burung pintar tersebut yang berjudul Mind of The Raven karya Bernd Heinrich (1999, New York: Harper Perennial) yang seterusnya mendekatkan keterujaan beliau kepada burung gagak; sehingga terlahirnya Kumpulan Puisi Aku Gagak.

Kumpulan puisi ini menghidangkan 52 buah puisi yang secara keseluruhannya disuarakan oleh ‘burung gagak’. Apa yang menarik di dalam buku ini ialah bagaimana Saifullizan mengatur puisi beliau secara berkait dengan mengambil baris, ungkapan atau kata terakhir di setiap puisi untuk menjadi subjek wacana seterusnya. Sebagai contoh:

“PEMBURU
…kau mengutuk kekejaman Israel
kau kata kami harus dihapuskan
seperti orang-orang Israel itu
tetapi tidakkah kau
yang menjadi Zionis
Sedang kami di sini
hanya menumpang di bumi-Nya.”
—halaman 3.

“DI BUMI-NYA
“Kami adalah gagak-gagak
di bumi-Nya
terbang dan bernyanyi
dengan suara serak…”
—halaman 4.

 

Saya begitu teruja menyelak helaian demi helaian kerana teknik penyampaian yang begini sangat memaut hati untuk saya baca dan baca, sehinggalah ke muka yang terakhir yang kesudahannya bertajuk SUDAH. Sungguh bijak dan menghiburkan.

Pengkritikan ‘burung gagak’ terhadap manusia sejagat (khususnya di Malaysia) amat bertepatan dengan isu semasa yang sedang berlaku. Saya beri keratan satu contoh dari puisi bertajuk  DI DUNIA INI.

“…di taman ini
aku ukir janji
hanya kita berdua sahaja
akan ku serahkan cintaku ini
kepada kamu sahaja
oleh itu serahkan tubuhmu kepadaku…
(Tiga minggu kemudian, seluruh akhbar di negara ini di muka hadapan bertajuk ‘Seekor bayi gagak ditemui di tangga masjid’.)”
—halaman 27.

Seperti contoh di atas yang bertajuk PEMBURU, Saifullizan juga mengajak kita merenung permasaalahan manusia secara global, secara kebangsaan, secara berkeluarga, juga secara perseorangan di dalam kumpulan puisi beliau.

Kumpulan puisi yang bersifat  puisi prosaik ini memaparkan puisi-puisi yang diksinya mirip dengan bahasa harian dan sangat mudah dihayati maknanya. Saya amat berharap anda akan membacanya nanti. Jika ada ulasan yang ingin anda berikan, sangatlah dialukan di ruang ulasan di bawah.

Selamat membaca!

KUMPULAN PUISI: AKU GAGAK
ISBN : 9789674304690
Penulis : Saifullizan Yahaya
Penerbit: ITBM
Tahun Terbitan : 2014
Harga : RM 15.00

Mengenai Saifullizan Yahaya

Saifullizan Yahaya dilahirkan di Kampar, Perak. Mendapat pendidikan rendah di SK Sri Bidor dan menengah di SM Syeikh Abdul Ghani, Bidor dan SM Buyung Adil, Tapah. Melanjutkan pelajaran di peringkat diploma dalam bidang Seni Sastera dan Kreatif di Institut Seni Malaysia, Melaka. Seterusnya beliau menyambung pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di peringkat Bacelor dalam bidang Linguistik Bahasa Melayu dan Master dalam bidang Sastera Melayu.

Pernah memenangi Hadiah Sastera Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Exxon Mobil (HSKU) 2002, 2004, 2006, 2007, 2013, dan 2014 serta Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011, 2012, 2014 dan 2015.

Puisi yang bertajuk “Mahkota : Jawapan kepada Sang Nila Utama yang Bertanya” telah menjadi teks elektif untuk Tingkat Lima dalam Antologi Anak Global (sesi 2010-2014) dan cerpen yang bertajuk “Oren” dalam teks KOMSAS Tingkat Satu (sesi 2015-2019).

Beliau telah menerbitkan sebuah kumpulan cerpen bertajuk Lelaki Tua dan Sebuah Kerusi (2008, DBP) dan dua buah kumpulan puisi, iaitu Biar Puisi Menjadi Peluru (2012, ITBM) dan Aku Gagak (2014, ITBM). Kini beliau bertugas sebagai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur (DBP) di Bahagian Penyelidikan Sastera.

Beliau pernah terlibat dalam Sektarian Penulis Muda GAPENA (SPMG), 2002-2005 dan

Kini (2016/2018) beliau merupakan AJK Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional (PENA). –Sumber: Blog Saifullizan Yahaya.

Mengenai ITBM

Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dahulunya dikenali sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), ditubuhkan pada 14 September 1993, dengan fungsi untuk mengendalikan hal ehwal penterjemahan, kejurubahasaan dan pemindahan maklumat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pada 16 Disember 2011, ITNM dijenamakan semula menerusi pengumuman yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Melalui penjenamaan semula ini, Institut Terjemahan & Buku Malaysia diberikan mandat untuk menerbitkan karya asli penulis Malaysia dalam pelbagai genre bagi merancakkan lagi industri penerbitan dan perbukuan negara dengan pembahagian 60% fungsi ITBM ditumpukan kepada penterjemahan manakala 40% untuk penerbitan buku. Dengan objektif strategik kami, dan berpandukan visi yang dipahat, kami mengorak langkah menjadi badan penterjemahan terunggul dan penerbit buku berkualiti, serta komited dengan iltizam untuk melaksanakan empat (4) misi utama kami; mengatasi halangan bahasa dalam penyebaran ilmu pengetahuan bagi melahirkan masyarakat maju; memperkaya dan memperkasa kepustakaan berbahasa Melayu sebagai wahana pemikiran bangsa Malaysia; mengantarabangsakan karya kebangsaan; dan membangunkan modal insan dalam industri penulisan, penterjemahan dan penerbitan buku.

About Poeta 17 Articles

Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.

2 Comments

  1. Saya membaca ‘Aku Gagak’ ini dan sejujurnya kurang mesra dengan gaya Saifullizan Yahaya ini. Tetapi dalam pada itu, masih mengagumi penyair ini yang menyindir manusia melalui mata gagak. Perihal kebiasaan dan isu-isu yang tak bernoktah.

    “puisi prosaik” – saya rasa pengunjung sangat berminat untuk membaca berkenaan pengkelasan sajak, terma dalam sajak, format asas/umum, bentuk (chiasmus, dsb), ciri-ciri dan sebab-sebabnya.

    • Ya, tuan. Tidak semua pembaca boleh mesra dengan gaya sebegini. Sahabat saya juga tidak berapa gemar stail yang sebegini, namun saya sebagai pembaca yang gemarkan kepelbagaian, saya boleh menerima puisi beliau seadanya dan cuba memahami mesej yang tersirat di sebaliknya.

      Terima kasih di atas saranan tuan. Kami akan menerangkan berkenaan pengkelasan sajak, terma dalam sajak, format asas/umum, bentuk (chiasmus, dsb), ciri-ciri dan sebab-sebabnya. Izinkan saya menyediakan bahan dahulu.

Comments are closed.