Lim Lay Koon: untuk menjadi ilustrator perlukan minat, latihan dan inspirasi

“Pada asasnya, latihan melukis, eksperimentasi bahan media dan rujukan buku adalah penting untuk mendidik diri di dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak. Sebagai permulaan, projek peribadi boleh dilaksanakan supaya anda boleh melatih diri secara konsisten”. – Lim Lay Koon

 

Melalui ilustrasi, kanak-kanak belajar memahami dunia di sekeliling mereka. Tanpa ilustrasi kemungkinan cerita dalam bentuk teks tidak akan menarik minat kanak-kanak yang khususnya berumur tujuh tahun kebawah. Boleh dikatakan aspek ilustrasi memainkan peranan yang penting di dalam penyampaian sesebuah cerita, di mana peratusan ilustrasi adalah 70% dan teks adalah 30% (jika dilihat dari kebanyakan buku bergambar kanak-kanak).

Peranan para ilustrator itu sangat penting kerana ilustrasi tidak hanya berpandukan teks semata-mata, mereka harus membuat kajian tentang subjek-subjek yang terkandung di dalam teks. Ilustrator selalunya berfikir di luar kotak dan boleh menggambarkan apa yang tidak terkandung di dalam teks supaya buku yang mereka lukis boleh dijadikan rujukan ibubapa dan para guru mengajar kanak-kanak supaya mempunyai aras kemahiran berfikir yang tinggi.

Justeru, kami mengambil inisiatif untuk mewawancara seorang ilustrator terkenal tanahair, Lim Lay Koon, yang telah memenangi beberapa anugerah di dalam dan juga di luar negara, untuk berkongsi pengalaman beliau bersama pembaca-pembaca TabulaKata.

Lim Lay Koon adalah penulis/ilustrator bagi buku Pip’s Peculiar Problem dan juga Menagerie–Fun with Animal Groups, juga beberapa buah buku yang ditulis oleh penulis lain.

Berikut adalah wawancara Poeta, penulis Tabulakata, bersama Lim Lay Koon.

Baru-baru ini saya membaca buku Pip’s Peculiar Problem dan Menagerie–Fun with Animal Groups dan saya mendapati ilustrasi di dalam buku-buku tersebut sangat menarik hati dan comel! Bolehkah saudari beritahu jenis media yang saudari gunakan dan apakah proses kreatif untuk kedua-dua buku tersebut?

Lim Lay Koon (LLK): Apabila saya menulis atau melukis sesebuah buku, perkara utama yang perlu saya pertimbangkan ialah cara dan suasana penceritaan yang ingin saya sampaikan. Kedua-dua buku tersebut mempunyai konsep yang sama; iaitu jenaka. Di dalam buku Menagerie (yang bermaksud taman haiwan), saya ingin memperkenalkan kata-kata penjodoh bilangan (collective nouns) kepada kanak-kanak di dalam cara yang boleh menghiburkan mereka. Sebagai contoh, untuk a BAND of gorillas, saya melukis sekawan gorilla yang bermain band; lengkap dengan peralatan musik! Menghiburkan, bukan?

Untuk kedua-dua buku tersebut, saya menggunakan teknik media campuran dengan warna-warna yang terang. Media yang saya gunakan ialah cat gouache, cat air dan pensel warna. Kelikatan cat gouache tidaklah secair cat air tetapi apabila kering, warnanya menjadi sangat terang dan amat bersesuaian dengan konsep yang saya inginkan. Cat air sesuai untuk digunakan melukis latar belakang, manakala pensel warna saya gunakan untuk melukis butir-butir terperinci.

Kedua-dua buku saudari adalah tentang haiwan. Saya dapati semua haiwan di dalam buku Pip adalah haiwan-haiwan yang terdapat di Malaysia, ada sebahagiannya hampir pupus. Apakah mesej yang ingin saudari sampaikan di sebalik kisah Pip ini?

LLK: Saya mendapati kebanyakan buku memaparkan haiwan seperti beruang dan arnab tetapi jika kita kaji, sebenarnya banyak lagi haiwan-haiwan lain yang menarik yang boleh dijadikan bahan untuk buku cerita; yang mungkin kanak-kanak tidak tahu mengenainya.

Ketika itu saya terfikir tentang tenggiling, salah seekor spesies haiwan terancam di Malaysia. Secara tidak langsung, imbasan demi imbasan lukisan bermain di benak fikiran saya. Oleh kerana cerita ini berkisarkan haiwan tempatan, maka saya rasa ada baiknya jika saya paparkan juga haiwan-haiwan tempatan yang lain di dalam buku ini.

Buku Pip ini mengisahkan tentang seekor tenggiling bernama Pip yang tidak pandai menggulungkan badannya dan meminta nasihat kawan-kawan di hutan tentang cara-caranya tetapi haiwan-haiwan tersebut tidak tahu kerana mereka bukan tenggiling, maka timbullah babak-babak lucu.

Objektif saya ketika menulis dan melukis sesebuah buku adalah untuk menghiburkan kanak-kanak dan  jika mereka mahu membaca buku-buku saya berulangkali, itu adalah suatu kepuasan bagi saya.  Namun untuk buku cerita Pip, saya ingin menyampaikan beberapa mesej penting untuk kanak-kanak tentang spesies haiwan terancam di Malaysia, apakah ancaman yang mereka hadapi dan secara tidak langsung mengajar mereka untuk memelihara alam semulajadi dan persekitaran.

Di samping itu juga cerita ini mengajar kanak-kanak bahawa sesuatu yang mustahil itu kadang-kadang boleh dilakukan dengan usaha dan juga pertolongan dari orang lain. Pip sebenarnya ingin belajar menggulungkan dirinya kerana ingin melindungi adiknya tetapi akhirnya berkat usaha dan pertolongan dari rakan-rakan, akhirnya dia berjaya. Di sini juga ada beberapa mesej berguna yang boleh dijadikan pengajaran iaitu tentang kasih sayang terhadap ahli keluarga dan juga bagaimana kasih sayang itu boleh membawa kepada keajaiban.

Bagaimanakah caranya saudari memperkembangkan gaya ilustrasi saudari pada masa mula-mula saudari berkecimpung di dalam bidang ini, dan siapakah ilustrator yang mempengaruhi gaya ilustrasi saudari?

LLK: Saya tiada sebarang gaya yang tetap kerana masih lagi di dalam proses untuk mengasah kemahiran melukis saya. Buku-buku yang saya lukis sebenarnya memberi peluang kepada saya untuk bereksperimen dengan pelbagai jenis media disamping dapat mempertingkatkan kemahiran saya. Ianya saya takrifkan sebagai belajar sambil bekerja.

Untuk buku yang mula-mula saya lukis yang ditulis oleh kakak saya iaitu Bunyi-bunyi Rumah Nenek (terbitan Dewan Bahasa & Pustaka), saya menggunakan pensel warna dan pen kerana itu sahajalah bahan media yang saya ada ketika itu. Untuk buku kedua yang saya lukis, iaitu buku novel kanak-kanak bertajuk Master & Apprentice, yang juga ditulis oleh kakak saya, hanya ilustrasi tidak berwarna yang dibenarkan. Jadi, untuk buku tersebut saya gunakan media arang.

Saya memang suka membaca buku kanak-kanak dan secara tidak langsung ini memberi saya inspirasi dan idea dan banyak membantu saya di dalam proses kreatif saya.

Saya suka semua jenis ilustrasi yang mempunyai komposisi, kombinasi warna dan karakter yang menarik,dan antara ilustrator yang saya minati ialah Jerry Pinkney, Quentin Blake, Emily Gravett, Judith Kerr.

Apakah nasihat saudari kepada semua bakal ilustrator buku bergambar kanak-kanak untuk membantu mereka membangunkan gaya lukisan juga teknik?

LLK: Saya sebenarnya sangat bertuah kerana diberi kebebasan oleh penerbit buku Oyez!Books untuk berkreatif dengan gaya dan media yang pelbagai dengan cara saya sendiri. Tiada rahsia besar sebenarnya disebalik kejayaan. Pada asasnya, minat, kekerapan membuat latihan melukis, eksperimentasi dengan pelbagai jenis bahan media dan membuat rujukan kepada buku yang berkaitan (samada buku koleksi ilustrasi atau buku kanak-kanak itu sendiri) sangat penting. Saya sarankan kepada mereka yang berminat agar mulakan satu projek peribadi dan dengan cara ini mereka boleh melatih diri secara konsisten.

Saya belajar melukis sendiri kerana saya memang suka mencuba teknik dan media baru. Ada teknik yang saya rasa selesa tetapi ada juga yang walaubagaimana banyak latihan pun yang saya lakukan, saya masih tidak dapat menguasainya. Dengan bereksperimen kita dapat mengetahui media dan teknik apa yang sesuai dengan kita, yang selesa kita gunakan.

Banyak bahan rujukan yang terdapat di luar sana; maklumat tentang ilustrasi, gaya, teknik, samada di Internet mahupun di dalam bentuk buku. Saya sarankan juga supaya mereka berkawan dengan ilustrator dan artis, lawati pesta buku atau pameran seni. Sebenarnya banyak cara untuk kita belajar, kita cuma perlu membuka mata dan hati kepada inspirasi dan idea baru.

Boleh saudari terangkan latar belakang saudari?

Maklumat yang saya boleh kongsikan dengan semua ialah bagaimana saya berkecimpung di dalam bidang ilustrasi buku kanak-kanak. Saya sebenarnya mempunyai latar belakang di dalam bidang Teknologi Maklumat, dan saya hanya mendapat pengalaman di dalam bidang seni semasa di sekolah. Jika saya ditanya beberapa tahun lepas, saya mungkin tidak dapat bayangkan yang seni dan ilustrasi akan menjadi sebahagian dari hidup saya.

Titik permulaan saya di dalam bidang ini ialah ketika saya dan kakak saya memasuki pertandingan buku cerita kanak-kanak yang tersiar di akhbar secara suka-suka; dan kami menang! Buku kami, Atuk Amazing Sarong, memenangi hadiah penerbitan buku oleh Oyez!Books.

Benarlah seperti kata pepatah, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, kami memenangi lagi dua hadiah; Pertandingan Buku Bergambar DBP 2012 (saguhati) untuk buku Bunyi-bunyi Rumah Nenek dan Hadiah Calistro 2012 untuk buku Master & Apprentice, diterbitkan juga oleh Oyez!Books.

Anugerah terbaharu yang saya menangi ialah Samsung Kids Time Author’s Award 2015 yang dianjurkan oleh Majlis Buku Kebangsaan Singapura (National Book Council of Singapore).

Anugerah-anugerah saya terima ini saya jadikan pembakar semangat untuk saya terus menyumbang bakti di dalam industri buku kanak-kanak.

Terangkan diri saudari tidak lebih dari 50 patah perkataan.
Saya suka ketawa (ha, ha, ha) dan semua benda yang bagus; makanan yang lazat, lagu yang merdu, buku yang baik, wayang yang bagus dan pengembaraan yang mencabar.

Tamat.

Semoga dengan butiran wawancara bersama Lim Lay Koon boleh mendorong anda di luar sana yang berminat menceburi bidang ilustrasi kanak-kanak. Sama-sama kita manfaatkan. Selamat mencuba!

Ringkasan Mengenai Lim Lay Koon

Penulis dan Ilustrator:
. Pip’s Peculiar Problem
. Menagerie – Fun with Animal Groups

Ilustrator:
. Atuk’s Amazing Sarong – by Lim Lay Har
. Master & Apprentice, Calistro Prize 2012 Winner – by Lim Lay Har
. Pigeon Post and Other Stories – by Gwen Smith
. The Nanobots and Other Stories – by Golda Mowe
. The Mystery of the Missing National Anthem – by Heidi Shamsuddin
. The Case of The Talented Trio – by Heidi Shamsuddin
. The Case of The Football Champion – by Heidi Shamsuddin
. The Case of the House at No. 74 – by Heidi Shamsuddin

(Buku-buku di atas boleh didapati di Kedai Buku Oyez)

Anugerah:
. Pemenang Utama, The Calistro Prize, Malaysia, 2012.
. Saguhati, Pertandingan Buku Bergambar Kanak-Kanak, DBP, Malaysia, 2012.
. Samsung Kids Time Author’s Award, Singapura, 2015.

Laman web: The Sisters Lim
FB: The Sisters Lim

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.