Misi Matilda: Tip Galakkan Anak-anak Suka Buku.

Harry Wormwood: A book? What do you want a book for?

Matilda: To read.

Harry Wormwood: To read? Why would you want to read when you got the television set sitting right in front of you? There’s nothing you can get from a book that you can’t get from a television faster

(Petikan dialog dari filem Matilda)

Menonton Matilda berulang-ulang kali nyata memberi kesan yang cukup besar kepada saya. Bagaimana seorang ‘Matilda’, bergerak melalui wataknya yang cukup genius sehingga saya sendiri tertanya-tanya, “Bagaimana genius terbentuk? Melalui gen atau latihan tubi atau kebijaksanaan adalah anugerah Tuhan kepada segelintir manusia?”

Setiap manusia punya kebijaksanaan tersendiri melalui;

  1. Anugerah Tuhan
  2. Keturunan
  3. Latihan tubi

Genius yang diletakkan pada watak Matilda oleh penulisnya, Roald Dahl melalui novel kanak-kanak berjudul Matilda ini benar-benar mencabar akal penonton untuk menyelami dunia kanak-kanak yang mempunyai dua hal utama – bakat dan latih tubi – Matilda punya bakat dan anugerah ‘precocity’ (kematangan) yang dipandu dengan betul oleh diri sendiri dan gurunya, Miss Honey.

Sumber gambar: https://www.pinterest.com/explore/matilda-roald-dahl/

Melalui filem Matilda, watak Matilda diabaikan oleh keluarga angkatnya sehingga membentuk dirinya yang pandai berdikari sejak kecil. Pada usia 4 tahun, Matilda digambarkan sudah mampu menguruskan diri sendiri dan membaca (mungkin kerana sudah tiada apa yang boleh dibuat apabila tinggal keseorangan di rumah atau Matilda memang genius). Kegilaannya dengan buku terubat apabila beliau pergi sendiri ke perpustakaan dan menghabiskan bacaan buku kanak-kanak yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut.

Matilda meneruskan ketagihan membaca dengan membaca buku-buku sastera dan buku yang berat isi kandungannya pada usia sekecil itu. Antara buku yang dibaca termasuklah; The Secret Garden, Great Expectations, Nicholas Nickleby, Oliver Twist, Jane Eyre, Pride and Prejudice, Tess of the d’Urbervilles, Gone to Earth, Kim, The Invisible Man, The Old Man and the Sea, The Sound and the Fury, The Grapes of Wrath, The Good Companions, Brighton Rock, Animal Farm, Moby Dick, Ivanhoe, The Red Pony dan Peter and Wendy dan tentunya banyak lagi.

Antara Anugerah Tuhan, Keturunan dan Latih Tubi.

Sumber gambar: http://roalddahl.wikia.com/wiki/Matilda

Matilda merupakan novel kanak-kanak yang dihasilkan oleh Roald Dahl  (1916–1990) pada tahun 1988. Roald merupakan penulis cerita pendek, penulis skrip dan penyair kelahiran British dan, “the most popular writer of children’s book since Enid Blyton“.

Penulis yang berilmu akan menghasilkan karya yang bermutu. Demikian Roald Dahl yang dibesarkan oleh ibunya (berbangsa Norway), yang selalu membawanya mengitari Norway, dan di situlah segala ‘hal-hal buku dan cerita’ terjadi – “Where she told him the stories of trolls and witches present in the dark Scandinavian fables”. Roald Dahl banyak terpengaruh dengan cerita-cerita itu sehingga mampu menghasilkan buku kanak-kanak pelbagai tema. Lihat bagaimana pengaruh si ibu yang membesarkannya dengan kegilaan buku dan karya hebat menghasilkan Roald Dahl yang ternyata genius.

Penulisnya yang memang berketurunan ‘suka buku’ dan genius terus menciptakan watak-watak genius untuk memandaikan pembacanya. Antara anugerah Tuhan, keturunan yang bijak pandai serta usaha latih tubi, sesiapa pun mampu menjadi luar biasa.

 

Jadi, bagaimana mahu menjadikan anak-anak kita suka buku?

Buku? Mari kita kira berapa jumlah buku yang sudah kita baca sejak kecil? Sejak sekolah? Sejak bekerja? Setahun yang lalu? Seminggu yang lalu? Hari ini?

Buku apa?

Di Malaysia, sejak dahulu kita dipolemikkan dengan berita ‘rakyat Malaysia kurang membaca’, dan “rakyat Malaysia membaca 2 buah buku setahun”. Percaya tak percaya, itulah beritanya walaupun jika dilihat secara tuntas, Malaysia memiliki perpustakaan di setiap negeri dan desa. Istilah membaca itu sendiri lebih luas definisinya. Adakah hanya dengan membaca buku maka kita diiktiraf sebagai pembaca? Ada juga yang suka membaca – surat khabar, dokumen, iklan dan sebagainya.

Namun, hakikat ‘membaca’ yang sepatutnya ialah membaca buku – dan buku yang berkualiti isi kandungannya.

Saya tidak akan membicarakan panjang lebar tentang hal membaca buku. Topik yang lain barangkali. Paling penting, sikap suka membaca perlu dididik sejak kecil lagi.

 

Sejak umur berapa tahun anak-anak perlu didedahkan dengan buku?

Sejak lahir. Sejak dalam kandungan ibu. Pernah dengar kisah di zaman Imam Abu Hanifah (Hanafi An Nu’man)? Seseorang pernah bertanya kepada bapa Imam Abu Hanifah. “Tuan, bagaimanakah tuan mendidik Hanafi sehingga begini istimewa jadinya. Jawab bapa Imam Abu Hanifah “Aku didik Hanafi 40 tahun sebelum dia dilahirkan”. Ini bermakna setiap ibu bapa harus didik diri sebelum mendidik anak-anak.

 

Bagaimana cara untuk didik anak suka buku:

  1. Sejak bayi dalam kandungan, ibu bapa digalakkan baca buku. Quran adalah buku terbaik dan sempurna untuk ditelaah bagi pasangan Muslim. Bukan sahaja menjadi bekal rohani kepada anak-anak, juga membentuk peribadinya apabila dewasa kelak kerana Quran mengandungi pelbagai kisah dan ingatan.
  2. Sediakan satu ruangan khas untuk menempatkan buku dan ruang baca yang selesa untuk anak-anak. Biar mereka rasa kepentingan membaca buku apabila melihat rak buku sendiri.
  3. Belikan buku-buku yang berkualiti isi kandungannya. Ibu bapa harus pantau.
  4. Bawa anak-anak ke lokasi yang berkaitan dengan buku – perpustakaan setiap minggu, pasar buku, acara buku dan sebagainya.
  5. Adakan sesi bercerita atau berbincang tentang buku di rumah – cari ruang yang sesuai atau tetapkan waktu-waktu tertentu untuk sesi bicara buku agar mereka tahu membaca bukan aktiviti sampingan tetapi wajib membaca.
  6. Fahami dan kenali potensi anak-anak. Belikan buku yang sesuai dengan kehendak dan minat mereka.
  7. Ajar anak-anak hargai buku – Nyatakan kebaikan-kebaikan membaca, tunjukkan harga buku agar mereka tahu nilai buku, cara simpan buku yang betul, letakkan buku di tempat yang mudah dicapai, balut buku, bersihkan rak buku selalu dan banyak lagi.
  8. Semasa membaca buku, ibu bapa elakkan menggunakan gajet. Fokus. Kecuali untuk menyemak sesuatu yang berkaitan bahan bacaan di komputer atau telefon bimbit.
  9. Aktiviti membaca di rumah boleh dipelbagaikan dengan – sesi seni bercerita (story-telling), melukis, menyanyi dan sebagainya.
  10. Jangan terlalu memaksa. Ikut kesesuaian dan tahap usia anak.

 

Demikian, kita mungkin tidak dapat lahirkan anak secerdas Matilda tetapi kita mampu mendidik anak-anak untuk cintakan buku dan seterusnya genius melalui latih tubi dan usaha yang konsisten agar mereka lahir sebagai generasi berilmu.

 

 

About Laila Nufa 15 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*