Zaen Kasturi: Semisalan belon, keterpesonaannya adalah kepada udara

Kumpulan Puisi 77 Tuju

Semisalan buku puisi, keterpesonaan saya adalah kepada kata-kata rahsia disebaliknya, khususnya saya tujukan kepada Zaen Kasturi, setelah saya membaca Kumpulan Puisi 77 Tuju (Siri Ingatan Kepada Kawan).

Ini adalah pertama kali saya membaca puisi-puisi Zaen. Oh kenapa begitu lambat dan di manakah saya sebelum ini? Di bawah tempurung? Saya akui, saya baru sahaja membuka jendela saya untuk menikmati citra suria puisi-puisi yang ada di luar sana. Sebelum ini saya hanya ditemani palitan warna visual; agak puitis juga, namun hanya ditemani bintang-bintang kecil.

Saya masih lagi sedang membaca 77 Tuju (di dalam julat 50%) dan rata-ratanya kesemua puisi Zaen yang telah saya baca saya anggap seperti bulan dan kejora yang menyinari ruang pemikiran saya dengan begitu indah sekali. Pastinya untuk mendekati bulan dan kejora itu bukan mudah, saya perlu menggunakan ‘kenderaan angkasa’ untuk mengembara mengelilingi sebelum menafsir.

Saya sedang mencari-cari inspirasi untuk berpuisi dan pemberian buku ini oleh sahabat saya amat saya hargai, justeru, proses kreatif yang Zaen hidangkan di ruang prakata amat membantu saya untuk berkreatif.

Zaen mengambil misalan belon untuk menerangkan proses kreatifnya.

“Kalaulah belon itu imejan yang membangkitkan keterpesonaan mata, yang kemudiannya mengembang menjadi citra melayang-layangmencuba untuk mencari jejak, dan kemudiannya berupaya pula untuk mengambang menjadi segumpal rahsia yang berpencar daripada getar rasa—yang terlintas pada fikiran untuk dijadikan puisi, maka saya ingin mengangkat makna ‘udara’ yang mengembungkannya, juga yang menerbangkannya. Pada tahap ini, keterpesonaan saya terhadap ‘hakikat belon’ (dengan aneka warna dan corak) dileburkan oleh ‘rahsia udara’. Mahu tidak mahu, saya harus melalui proses peleburan itu.”

Ujar beliau, proses penulisan puisinya bermula dari premis tampak mudah, namun ianya harus melalui proses ‘peleburan’, penciptaan ungkapan dan penapis kecerewetan. Secara sengaja atau tidak, beliau terjerat dan seringkali juga mencipta jerat sendiri untuk meleburkan citra dan berharap agar akan muncul suatu atau mungkin beberapa makna baharu daripada proses-proses di atas.

“Menulis puisi itu seperti meredah belukar berduri
dan mengharungi selut berlumpur likat.” 
— Zaen Kasturi.

Zaen percaya yang puisi itu bukan sekadar susunan atau persandingan kata-kata tetapi ialah ‘kuasa jiwa dan rasa’ yang seringnya sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Beliau tidak percaya dengan suara-suara di luar sana yang berkata bahawa menulis puisi itu mudah, ada idea, susun kata-kata, jadilah puisi.

Sesungguhnya Zaen Kasturi banyak belajar tentang ilmu firasat Melayu daripada bapanya, disamping kekaguman beliau terhadap khazanah puisi tradisional Melayu seperti syair, gurindam, pantun, seloka, dan mantera yang diamalkan tukang-tukang Melayu.

Kumpulan Puisi 77 Tuju (Siri Ingatan Kepada Kawan), seperti namanya, menghidangkan 77 buah puisi yang tajuknya bermula ‘ingatan kepada kawan i sehingga lxxvii.’ Tajuk yang tampak mudah namun tidak semudah bait-bait puisi di dalamnya yang mengambil masa sedekad untuk dikaryakan.

Teringat saya akan puisi Mohamad Saleeh Rahamad yang bertajuk Kau Seperti Malam (Himbauan terhadap Zaen Kasturi), yang menafsirkankan Zaen seperti malam yang menebarkan rawan zulmat dan menyembunyikan butir cahaya di lapis rahsia.

Puisi-puisinya yang kompleks dan evokatif amat menuntut khalayak pembaca untuk berfikir dan menjadi perenung serta pentafsir kehidupan. Justeru, saya hidangkan satu puisi beliau dari 77 Tuju untuk pembaca TabulaKata. Andaikata anda ingin membaca lebih dari itu, bolehlah mendapatkan buku ini di ITBM.

“apa jarak antara kita?
apa masih sering diukur tempat dan masa?

(“nah!” katamu. “kutemukan jarak kita
di bawah kerlipan lampu
dan kenyitan debu…)

apa lampu
di hadapan bayang memburu?

apa debu
di belakang badai menderu?”

ingatan kepada kawan “l”, halaman 57.

 

Apakah tafsiran anda tentang puisi? Bolehlah sama-sama kita kongsikan di ruangan ulasan di bawah.

 

KUMPULAN PUISI: 77 TUJU (SIRI “INGATAN KEPADA KAWAN”)
ISBN : 9789670798875
Penulis : Zaen Kasturi
Penerbit: ITBM
Tahun Terbitan : 2015
Harga : RM 15.00

Mengenai Zaen Kasturi
Zaen Kasturi atau nama sebenarnya Zainal Palit dilahirkan pada 16 Oktober 1964 di Kuala Sungai Baru, Melaka. Menerima pendidikan rendah dan menengah di negeri kelahirannya, manakala pendidikan tinggi diperolehnya daripada Universiti Malaya dan University of London.

Selain puisi, Zaen turut menulis dalam genre cerpen, novel, esei sastera, rencana umum dan skrip drama televisyen. Pernah memenangi beberapa hadiah penulisan peringkat kebangsaan, antaranya Hadiah Sastera Malaysia, Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank, Hadiah Puisi DBP-KL, Hadiah Puisi Kebangsaan Esso-Gapena dan Hadiah Sastera Perdana.

Antara karya Zaen dalam bentuk buku termasuklah Yuda (kumpulan cerpen), Katarsis (kumpulan puisi), Rapsodi (kumpulan cerpen), Idola (kumpulan cerpen) dan Angin Belantara (novel), Iga (Kumpulan puisi).

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*