Pesta Dapur: Wanita, Raikan Duniamu!

Sabtu lepas sempat menyinggah (sebenarnya berlama-lama) di Markas Kota Damansara bagi meraikan program Pesta Dapur yang dikelolakan oleh pemilik Markas, Fazleena Hishamuddin dan timnya sempena Hari Wanita Sedunia 2017.

Memasuki ruang Markas yang berkonsepkan ‘black box’ ini membuatkan kita berbangga – anak-anak muda ini punya cara tersendiri mengekspresikan jiwa seni mereka kepada khalayak, menyumbang tenaga dan masa demi kelangsungan seni dan budaya dalam masyarakat. Seperti yang tertera pada poster atur cara program, terdapat beberapa acara akan dihidangkan dari jam 12:00 tengah hari sehingga ke 10:00 malam.

 

Wanita dan Puisi?

Bagaimana mula pengkaryaan seorang wanita? Melalui pembacaannya? Latar sejarah kedewasaannya atau pengaruh rakan sekeliling? Demikian beberapa persoalan yang terjawab ketika meneliti sebuah buku puisi yang berjudul indah, “Dahlia Dingin Disember” (DDD), hasil karya Naziatul Azrin – seorang penulis muda yang berbakat. Jawapan persoalan di atas – pengaruh lelaki dalam rentas pengkaryaan dan kedewasaan Naziatul (beberapa nama pengkarya lelaki disebut dalam buku ini) tidak mematikan jiwa halusnya dalam menyampaikan fikiran wanita. Acara pertama ini menyorot penulisan dan perpuisian Naziatul melalui buku pertamanya terbitan Deleted Books yang cuba melontar suara-suara wanitanya dan menyatakan sikap kewanitaan dalam bentuk yang berseni. Antara petikan puisi yang enak dihadam:

Taman tak berpalang,

kuntum tak dilapis,

lepaslah kumbang

hinggap di para.

Lidah tak bertulang,

kata tak ditapis

lepaslah pasang

masuk ke muara.

(Bagai Pasang masuk ke Muara)

 

Puisi ini memberi ingatan tentang sikap manusia secara umumnya – sesuatu yang berlaku ada sebabnya. Sejurus memperlihatkan teguran sosial kepada masyarakat. Sesuatu itu perlu diteliti sebelum berlaku dan diadili sebaiknya selepas berlaku. Begitu tafsiran saya.

Adakah suara wanita itu murah dan lemah?

Setelah membaca puisi panjang berjudul Dahlia Dingin Disember, akan ditemui suara-suara sebenar seorang wanita (yang mahu mengenal erti dewasa) bahawa seorang wanita mahukan apa yang diinginkan seperti juga lelaki. Namun, sering kali kemahuan-kemahuan itu terbatas bukan sahaja kerana kekangan diri sendiri (self-conflict), tetapi juga keterbatasan lainnya yang tak terhadapkan atau dalam keterpaksaan. Bagaimana keinginan diri dinyatakan melalui:

 

Aku mahu lantai tari

dan mahu menari tanpa kau melihatnya.

Aku mahukan pentas luas

dan mahu berbicara puas-puas tanpa kau dapat mendengarnya.

 

Dan juga rangkap ini:

 

Reda. Hujan reda. Sejalur sinar tembus dari celah-celah pecahan pasu dan kaca. Bunga-bunga Dahlia kembali bernyawa. Kuntumnya menjadi pedang-pedang bercahaya. Menyala-nyala.

 

Melalui puisi DDD ini, watak sebenar dan ‘sepatutnya’, diserahkan kepada pembaca untuk mengenal wanita apa adanya. Wanita juga punya rasa. Demikian contoh dua buah puisi antara puisi-puisi yang termuat di dalam buku yang dilancarkan pada acara ini. Boleh dapatkan terus melalui penulisnya di: FB Naziatul Azrin.

 

Wanita dalam Suntingan

Tajuk yang menarik kan? Dan sememangnya ia membuka dunia kewanitaan dalam penulisan. Dua orang editor wanita yang didatangkan dari Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Ainunl Muaiyanah dan Zalila Isa yang telah menangani ratusan manuskrip berkongsi pengalaman tentang kepengarangan wanita.

Wanita dan penulisan memperlihatkan suatu keseimbangan. Melalui perkongsian, didapati corak pengkaryaan wanita berubah mengikut kedewasaan dan status dirinya. Sering kali kita mendengar penulis wanita tidak konsisten menulis atas faktor – berumahtangga – yang mungkin juga memberi gambaran wanita tidak serius menulis. Namun, melalui statistik yang dikongsikan juga, corak pengkaryaan wanita bukanlah isu besar seterusnya dengan tegas  menyatakan keterlibatan wanita dalam dunia penulisan bukan sekadarnya. Penulis wanita (terutama karya sastera), dianggap selaras dengan keinginan dan kemanusiaan wanita itu secara fitrahnya – ingin menyatakan sesuatu (dalam bentuk tulisan) dan juga tidak tega melepaskan tanggungjawab sebagai isteri atau ibu kepada anak-anak.

Antara nama penulis wanita (karya sastera) yang disebut ialah penulis ‘legend’ seperti Dato’ Zurinah Hassan (Sasterawan Negara wanita yang pertama), Dr. Siti Zainon Ismail, Fatimah Busu, Zaharah Nawawi, Siti Zaleha M. Hashim, Nisah Haron, Hafizah Iszahanid , Sri Rahayu, Amelia Hashim dan beberapa nama besar yang lain. Karya-karya mereka (sekadar menyebut nama-nama itu), boleh dijadikan kayu ukur keterlibatan wanita secara serius dan konsisten dalam ranah penulisan negara. Generasi pelapis harus  mengambil semangat wanita-wanita ini jika mahu menjadi penulis yang mempunyai sikap dan pemikiran jelas tentang peranan penulis wanita.

Zalila, akhirnya memujuk – tidak mengapa jika wanita dikatakan tidak konsisten menghasilkan karya, namun, wanita tidak pernah lupa tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu dengan melimpahkan idea, pemikiran dan kehendaknya melalui kebaktian kepada keluarga. jika disemak maklumat yang ada dalam bentuk kajian dan berita juga, penulis wanita dan pembaca wanita merupakan golongan yang paling besar menggerakkan industri buku negara. Mari tepuk tangan. 😛

Walau bagaimanapun, harus diingat, karya-karya penulis wanita bukanlah sekadarnya dalam merencahkan dunia penulisan dan perbukuan negara, sejak zaman sebelum merdeka sehingga ke hari ini. Penulis wanita tetap tumbuh sebagai pohon yang berbunga dan berbuah ranum.

Wanita dan Tanggungjawab Sosial

Seterusnya acara diisi dengan kehadiran tiga orang wanita berkongsi tentang aktiviti sukarelawan (tanggungjawab sosial) iaitu Aina Wafi, Ainie Haziqah dan Pnut Syafinaz yang dimoderatorkan oleh Raiha Bahauddin. Khalayak didedahkan dengan penglibatan wanita dalam kerja-kerja membangunkan masyarakat mengisi kelompongan yang ada seperti membina perpustakaan dan memberi pendidikan kepada anak-anak luar bandar serta membantu sedaya upaya insan-insan yang tidak mendapat perhatian masyarakat umum. Kerja-kerja kecil yang besar impaknya. Seperti kata-kata Martin Luther King. Jr,

“Everybody can be great … because anybody can serve. You don’t have a college degree to serve. You don’t have to make your subject and verb agree to serve. You only need a heart full of grace. A soul generated by love.”

Sesudah itu, bagaimana wanita mengisi keinginannya lagi? Bebaskah wanita menentukan apa yang diingini untuk dirinya sendiri? Persoalan ini membuka kepada bual bicara tiga wanita yang menemukan keinginan dan kebebasan diri melalui pengembaraan solo ke negara-negara asing.

 

Wanita dan Kembara Solo? Beranikah?

 

Fraja Beha, Yanz Shamsuddin & Gypsyandthepostcard bersama moderatornya Gadis Buku (Anis. A. Azam yang juga baru pulang dari Jogja  sebagai pengembara solo) mengupas siri pengembaraan solo wanita. Pelbagai isu diketengahkan dan dikongsikan termasuklah kekangan-kekangan berada di negara orang, pengalaman manis pahit, tip-tip dan pengalaman kehidupan di sana. Pengembaraan itu bukan sahaja memberi pengalaman yang luar biasa tetapi membebaskan wanita dari kepompong perasaan dan pemikiran biasa. Setiap orang akan mencari cara mereka tersendiri dan sesi ini benar-benar mengajak wanita meneroka diri dan dunia maha luas ini.

 

Apabila dua orang wanita bergabung idea kreatif – Song and Stories, maka…

 

 

Wanita dan hiburan? Bagaimana? Lihat sahaja bagaimana Gina Yap Lai Yoong dan pasangan travelognya Juwita Suwito melalui acara Song and Stories yang membawa penonton ke daerah tempatan yang sebenarnya penuh warna dan citra, tinggal kita mahu menerokanya dan menikmatinya dengan cara bagaimana. Selama hampir sejam ruang Markas dipenuhi dengan cerita Gina dan Juwita mendaki Gunung Kinabalu, merentasi perjalanan di Kuala Lipis dengan berkereta api serta menikmati pengalaman tempatan seperti membuat gula kabong. Hidup ini indah, kan? Dan sesi ini diakhiri dengan lantunan suara penyayi dan komposer hebat, Juwita Suwito melalui lagu Sejak Hadirmu. Enjoy it!

Jam telah menunjukkan pukul 5:30 petang. Hati berbolak balik mahu menunggu atau teruskan berada di situ. Diberitakan, selepas ini ada tayangan filem pendek. Maka, bertahan lagi untuk melihat sejauh mana wanita telah meneroka dunianya.

Ruang Markas gelap! Masa untuk Filem Pendek…

Tayangan filem pendek bermula. Sebanyak 4 buah filem ditayangkan dan kemudian acara bedah filem bersama 4 pengarah filem pendek ini iaitu, Bebbra Mailin, Shahanz Akbar, Nora Nabila & Mien Ly. Moderatornya, Sayidah Mu’izzah. Bagaimana citra wanita berkarya dalam bentuk filem? Filem pendek berjudul Rapuh, Selam, Haus dan Tri V Agi yang menampilkan isu berbeza namun memberi manfaart kepada wanita.

Acara diteruskan lagi namun saya terpaksa berangkat pulang. Acara seterusnya mungkin boleh rujuk pelaporannya di  FB Markas Kota Damansara dan jangan lupa raikan program-program yang akan datang.

 

Wanita, Harus Bagaimana?

Demikian, secebis kisah tentang wanita dan bagaimana mereka menikmati kehidupan ini. Sungguh, setiap wanita berhak menentukan kehidupannya dan bersyukurlah negara kita tidak mengabaikan wanita. Ruang dan peluang yang tersedia cukup luas untuk mereka menikmati kehidupan sebaik-baiknya dan membantu masyarakat lainnya dalam apa juga bentuk. Apa yang penting ialah sentiasa mengisi hidup dengan ilmu dan merayakan pengalaman hidup pahit manis dengan yang lainnya, dengan penuh rasa positif.

Hargailah wanita di sekeliling anda. Raikan mereka, bantu mereka walau di pelosok mana pun di seluruh dunia ini dan sama-sama menikmati indahnya dunia dengan hadirnya wanita. Selamat menyambut Hari Wanita Sedunia 2017!

 

*Terima kasih Fazleena Hishamuddin yang mengizinkan gambar-gambar ini dikongsikan di sini. 🙂

**Sumber gambar: https://www.facebook.com/pg/MarkasKotaDamansara/photos/?tab=album&album_id=613725918818418

About Laila Nufa 19 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.