Penulis Perlu Cari Diri Sendiri Sebelum Berkarya – Sri Rahayu

Sri Rahayu merupakan nama besar dalam ranah penulisan novel di Malaysia. Selain terkenal kerana memenangi setiap sayembara dan pertandingan menulis novel yang disertai sejak tahun 2000 sehingga kini, Sri Rahayu juga diletakkan sebaris dengan pengarang-pengarang besar di Malaysia apabila dilihat cukup konsisten dalam berkarya dan menggunakan pendekatan ‘berhati-hati’ serta membuat kajian rinci mengenai setiap apa yang ingin dikarang untuk tatapan pembaca dan menjadi ‘ubat’ kepada dirinya sendiri.

Sorotan inspirasi ini membuka sisi-sisi istimewa dan unik pengarang wanita berzodiak Gemini ini, yang memilih berjalan di atas platform tersendiri melalui stail dan pendekatan berbeza daripada pengarang wanita lainnya.

 

Sri Rahayu dikenali sebagai ‘ratu’ fiksyen Sains di Malaysia dan begitu prolifik dalam menghasilkan karya. Bagaimana ia bermula? (Titik permulaan menulis dan pengaruh siapa untuk memilih bidang fiksyen sains).

SR: Saya mula menulis secara serius pada tahun 1999. Ketika itu saya masih belajar di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras. Saya bertekad untuk menulis sebuah novel. Saya menggunakan kemudahan perpustakaan di maktab dengan sepuas-puasnya. Oleh kerana saya tidak mempunyai komputer dan kesempitan wang, saya menulis tangan di atas kertas A4 fotokopi yang masih kosong belakangnya. Kertas-kertas ini saya simpan dan saya tebuk dan saya ikat dengan tali. Saya rasa kerana saya bermula dengan begitu sukar, saya mahu sangat berjaya. Namun begitu, rezeki juga memainkan peranan. Apabila manuskrip pertama saya ini berjaya memenangi anugerah, saya mendapat keyakinan untuk terus berkarya.

Saya memilih  fiksyen sains kerana saya sangat meminati sains. Saya lebih dipengaruhi oleh filem-filem dan siri TV bercorak saintifik berbanding dengan karya-karya fiksyen. Namun begitu, saya meminati karya Isaac Asimov, Ray Bradbury dan cerita-cerita pendek fiksyen sains daripada ramai penulis. Saya tidak memuja penulis-penulis tertentu, kerana saya mengambil kira karya fiksyen sains sebagai sebuah khazanah besar yang memberi pengaruh dan mempengaruhi satu sama lain.

 

Setakat ini, bolehkah nyatakan jumlah sebenar karya yang telah dihasilkan (diterbitkan) berserta anugerah-anugerah yang dirangkul?

  1. Bukan Legasi Lalang (Utusan Publications & Distributors) memenangi tempat pertama kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2000. Novel yang sama juga memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), 2000/2001 bagi kategori Novel Kanak-kanak/ Remaja.
  2. Merdekakan Cinta Ratna memenangi tempat ketiga kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2002.
  3. Odisi Tanah Kencana memenangi tempat kedua kategori Novel Remaja dalam Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2006.
  4. Warisnya Kalbu memenangi tempat pertama kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2007.
  5. Kasih Nan Agung telah memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2008.
  6. Impuls/Roh telah memenangi tempat pertama kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2009.
  7. Bimasakti Menari memenangi tempat pertama kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2010. ‘Bimasakti Menari’ juga telah memenangi kategori Novel Kanak-kanak/Remaja dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), 2010/2011. ‘Bimasakti Menari’ sekarang digunakan sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) subjek Bahasa Malaysia Tingkatan 5 bermula dari tahun 2016 di sekolah-sekolah menengah di Terengganu, Kelantan, Pahang dan Melaka.
  8. Rimba Jiwa telah memenangi tempat ketiga kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), 2011.
  9. Equilibria telah memenangi Sayembara Penulisan Fiksyen Sains & Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Kedua pada tahun 2011.
  10. Qalam Kalbu telah memenangi Sayembara Penulisan Novel-Cerpen-Puisi Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) – Berita Harian – PENA Musim Pertama pada tahun 2013. ‘Qalam Kalbu’ juga telah memenangi Kategori Karya Umum (Buku) dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013.
  11. Transgenik Sifar yang memenangi Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia-Kumpulan Utusan Musim Ketiga pada tahun 2015.
  12. Empunya Kalbu telah memenangi tempat kedua Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015.

Boleh kongsikan secara ringkas/penuh, proses kreatif yang dilalui untuk novel yang ditulis?

SR: Saya menulis berdasarkan perasaan saya. Bagi saya, penulisan ialah terapi. Apabila saya mengalami kecelaruan fikiran, saya akan menulis. Jika saya tidak menulis, saya akan sakit. Jadi, proses penulisan saya sentiasa dimulakan dengan saya bertanya kepada diri saya soalan ini:

Apa masalah saya? Kenapa saya rasa macam ini? Siapa yang menyakiti saya? Apa yang saya nak katakan kepada individu-individu yang menyakiti saya? Kalau saya ada kemampuan, apa yang saya akan buat secara fizikal untuk menyelesaikan masalah saya?

Dengan cara ini, karya saya boleh disiapkan kerana saya tiada pilihan. Saya mesti siapkan karya saya untuk ‘sembuh’. Jika saya tidak siapkan karya saya, saya akan terus dirundung masalah kecelaruan fikiran.

 

Ramai yang berkata, penulis wanita pastinya akan bergulat dengan isu-isu kewanitaan. Isu utama apakah yang dipilih oleh Sri Rahayu dalam novel-novelnya, dan mengapa?

SR: Saya tidak memberi tumpuan kepada ‘masalah wanita’ dalam novel-novel saya. Ini mungkin kerana saya tidak menulis tentang isu-isu rumah tangga atau isu perasaan. Tema pilihan saya dalam karya ialah patriotisme, kermurniaan agama, nilai seni warisan dan isu-isu alam sekitar. Jadi, ‘isu kewanitaan’ tidak timbul tetapi yang saya tonjolkan ialah isu kemanusiaan.

 

Kekangan-kekangan yang dihadapi semasa menulis dan bagaimana menyelesaikannya?

SR: Kekangan utama yang saya hadapi ialah kekangan masa kerana saya bekerja sebagai guru, dan merupakan seorang isteri dan ibu kepada 2 orang budak lelaki yang sedang meningkat remaja. Saya terima hakikat yang saya hanya mampu menulis sebuah novel satu tahun paling banyak dan penerimaan ini sebenarnya membuatkan saya merasa lebih seimbang dan bersyukur. Namun begitu, saya kurang bersosial dan rasa tidak gemar membeli-belah atau bersiar-siar tanpa tujuan. Saya lebih suka duduk di rumah membaca dan membuat kajian dan bersenam untuk kekal kreatif dan bertenaga. Selagi saya menjaga kesihatan minda dan fizikal, saya yakin itu akan membolehkan saya menulis, walaupun hanya sebuah novel satu tahun.

 

Pandangan terhadap novel-novel di Malaysia.

SR: Kita berada dalam zaman di mana semua orang boleh menulis sesuatu dan menerbitkan karya. Saya adalah seseorang yang bersifat terbuka dan tidak suka mengkritik negatif karya orang lain. Saya berpendapat semua jenis karya ada khalayaknya sendiri.  Saya serahkan penilaian karya kepada khalayak yang meminati karya itu dan bukan pada orang yang tidak meminati karya tersebut.  Saya juga menyerahkan kepada pembaca untuk memilih bahan bacaan tanpa dikritik dan dipandang serong. Namun begitu, penerbit mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kualiti karya terjaga tidak kira apapun genre karya yang diterbitkan.

 

Karya sendiri yang paling memberi kesan kepada Sri Rahayu.

SR: Saya paling suka novel saya yang bertajuk ‘Qalam Kalbu’. Ia sangat sedih. Saya menghadapi kesedihan yang teruk ketika menulisnya. Saya bersyukur yang hasil kesedihan saya ini termanisfestasi dalam bentuk yang boleh diterima pembaca.

 

Tip penulisan Sri Rahayu.

SR: Petua penulisan paling penting ialah penulis mesti cari siapa dirinya sendiri. Apabila dia telah dapat siapa dirinya sendiri, diri itulah yang perlu dibawa dalam karya. Diri penulislah yang akan bersuara dalam karya. Dengan cara ini, penulis akan menyudahkan ceritanya kerana cerita itu adalah cerita tentang dirinya sendiri, bukannya cerita orang lain. Jika penulis cerita tentang orang lain, penulis pada bila-bila masa akan kehilangan motivasi untuk menyudahkan cerita itu kerana ia tiada kaitan dengan dirinya.

 

Nasihat dan harapan terhadap penulis yang masih baharu dalam meneroka penulisan bercorak fiksyen sains.

SR: Penulis mesti banyak membaca dan mengkaji genre fiksyen sains. Ini bukan tujuan untuk meniru, tetapi untuk mengetahui apa yang telah ditulis oleh orang lain, maka penulis akan mencari idea-idea baru dan tidak mengulang apa yang telah berkali-kali diulang.

 

Jika Sri Rahayu bukan seorang guru dan penulis, siapakah Sri Rahayu?

SR: Saya mahu jadi seorang pelukis. Saya pandai membuat catan dalam beberapa media – akrilik, warna air, cat minyak. Saya pelukis yang agak accomplished dalam lukisan pastel minyak, pensel dan arang. Saya boleh melukis potret dengan baik. Namun, jika saya diminta melukis sekarang, saya perlukan beberapa jam untuk membiasakan ‘stroke’ saya kerana saya jarang-jarang melukis sekarang kerana saya telah memfokuskan hidup saya pada bidang penulisan.

 

5 perkara menarik tentang Sri Rahayu

  1. Tidak suka memasak.
  2. Pengumpul buku tegar.
  3. Menggemari lagu-lagu dalam bahasa Inggeris moden dalam pelbagai genre.
  4. Penggemar coklat buatan luar negara.
  5. Memandu kereta yang sama selama 15 tahun.

 

5 buku terbaik pilihan Sri Rahayu.

  1. Harry Potter & the Philosopher’s Stone – JK Rowling
  2. House of Leaves – Mark Z. Danieliewski
  3. Hikayat Panji Semirang
  4. Hikayat Hang Tuah
  5. The 90-Day Novel – Alan Watt

Biodata ringkas Sri Rahayu:

 

Nama penuh: Sri Rahayu Mohd Yusop

Asal: Tanjong Karang, Selangor

Tarikh Lahir: 18 Jun 1976

Pekerjaan: Guru Bahasa Inggeris

Status: Berkahwin (Suami: Hesam Hashim. Anak: Firdaus faramir, Akmal Anas).

Sri Rahayu boleh dihubungi melalui:

Blog: http://srirahayumohdyusop.blogspot.my/

Twitter: https://twitter.com/sriyusop

Instagram: Sri Rahayu Mohd Yusop

 

 

About Laila Nufa 19 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.

2 Comments

  1. Wow! Semua bukunya menang hadiah! Amazing. Saya kenal Sri semasa sama-sama ke Singapura menyertai Singapore Writers Festival. Seorang yang sangat peramah.

    • Jika ada rakan taulan atau pelajar sekolah pelbagai latar belakang dan usia, saya akan terus cadangkan buku SRi Rahayu – Jangan risau, tiada unsur yang meragukan. Selamat untuk dibaca. 🙂

Comments are closed.