Unsur-unsur psikologi, humor dan sindiran di dalam My Side of the Matter karya Truman Capote

My Side of the Matter karya Truman Capote, terbitan Penguin sempena ulangtahun yang ke 70 di dalam siri Pocket Penguin pada tahun 2005 ini adalah kumpulan cerpen yang mengandungi empat buah karya; Miriam, My Side of the Matter, Music for Chameleons dan Mr. Jones. Buku ini yang hanya mempunyai 64 mukasurat. Bacaan yang ringkas dan padat.

Miriam

Miriam adalah cerpen yang pernah disiarkan di dalam majalah Mademoiselle keluaran June 1945. Cerpen pertama beliau ini telah memenangi anugerah O. Henry Award bagi kategori Best First-Published Story pada tahun 1946.

Miriam mengisahkan tentang dua karakter, Puan HT Miller dan seorang gadis kecil bernama Miriam. Puan Miller adalah seorang janda berusia 61 tahun yang tinggal bersendirian setelah kematian suami. Hidupnya berkitar di dalam apartmen kecilnya yang agak suram; yang sesekali dipenuhi asap rokok. Temannya hanya seekor burung kenari bernama Tommy, dan dia tidak begitu mengenali jiran-jirannya.

Suatu hari ketika salji baru mula turun, dia keluar untuk menonton wayang setelah terbaca iklan di dalam suratkhabar. Puan Miller ternampak Miriam buat kali pertamanya di pawagam ketika sedang beratur membeli tiket.

“Her hair was the longest and strangest Mrs. Miller had ever seen: absolutely silver-white, like an albino’s. It flowed waist-length in smooth, loose lines. She was thin and fragilely constructed. There was a simple elegance in the way she stood with her thumbs in the pockets of a tailored plum-velvet coat.”

Beberapa malam selepas itu, ketika salji makin menebal, Miriam muncul di hadapan pintu rumah Puan Miller, ketika dia baru hendak melelapkan mata. Puan Miller merasa agak curiga kerana Miriam dibenarkan keluar merayau dengan pakaian sutera nipis berwarna putih yang tidak bersesuaian dengan waktu, keadaan dan cuaca. Tidak seperti malam-malam lain dengan rutin yang sama, malam tersebut menjadi kucar-kacir apabila dia terpaksa melayan kerenah Miriam. Kepenatan, dia berbaring selama sehari dan keluar keesokannya.

“After straightening the apartment, she went to the grocer’s, cashed a check and continued to Schrafft’s, where she ate breakfast and chatted happily with the waitress. Oh, it was a wonderful day—more like a holiday—and it would be so foolish to go home.”

Kemunculan gadis kecil misteri ini di rumahnya tempohari umpama membawa cahaya baru ke dalam hidupnya yang suram pada saat itu. Hari-harinya semakin ceria.

Kemudian ceritanya menjadi semakin rumit apabila Miriam mula mengawal gerak geri Puan Miller. Kisah ini penuh dengan kejutan yang tidak dijangkakan, dan dalam cara penceritaan yang indah, Truman Capote berjaya membawa saya ke dimensi psikologi seorang wanita tua; yang bernama Miriam juga.

 

My Side of the Matter

My Side of the Matter adalah lebih kurang sebuah testimoni dari seorang suami muda berusia 16 tahun, Sylveaster, yang berbalah dengan dua orang makcik kepada isterinya.  Sylvester menegaskan bahawa:

“The facts: On Sunday, August 12, this year of our Lord, Eunice tried to kill me with her papa’s Civil War sword and Olivia-Ann cut up all over the place with a fourteen-inch hog knife”.

Di dalam cerpen ini, Capote telah merangka naratif berupa sindiran di dalam penceritaan yang padat. Watak-watak serta butiran terperinci mengenai Alabama digambarkan begitu baik sekali (ini dapat saya katakan kerana telah menonton filem Crazy in Alabama), dan keseluruhan ceritanya amat memprovokasi fikiran.

Kisah ini sebenarnya berdasarkan kisah ibu dan ayahnya yang berkahwin di usia muda, yang kemudiannya bercerai empat tahun selepas itu.

Music for Chameleons

Cerita ini adalah naratif diri beliau sendiri, tentang lawatannya ke Martinique, tempat di mana seorang sahabatnya, seorang ahli musik, telah dibunuh oleh beberapa orang kelasi. Ceritanya bermula dengan kisah dirinya duduk berbual di anjung seorang wanita  aristokrat yang dipanggilnya Madame, yang tahu semua cerita yang berlaku di pulau yang penuh dengan kameleon, yang gemar datang mendengar Madame bermain piano.

Kisah ini hanya ada dua watak, dirinya dan Madame; Madame banyak bercakap, manakala beliau pendengar yang setia. Di rumah Madame ada sebuah cermin hitam di dinding, yang menurut Madame, pernah dimilik oleh pelukis terkenal, Gauguin. Pelukis lain seperti Van Gogh dan Renoir pernah juga menggunakan cermin tersebut untuk memperbaharui pandangan dan reaksi mereka terhadap warna dan variasi tona. Capote tertarik untuk mencuba; beliau mendapati dirinya seperti Alice yang sedang mengembara melalui sebuah cerminkiasan terhadap realiti hidupnya. Pengisahan kameleon di dalam cerita ini, bagaimana ianya bertukar warna dan juga tertarik kepada musik dari piano yang dimainkan oleh Madame juga adalah kiasan.

“Soon the music lovers assemble, chameleons scarlet, green, lavender, an audience that, lined out on the floor of the terracotta terrace, resembles a written arangement of musical notes. A Mozartean mosaic.”

Apa yang menariknya setelah membaca karya ini, saya mengkaji pula tentang Gauguin, Van Gogh, Renoir dan Mozart, juga kepulauan Martinique, dan apa kaitan kesemuanya dengan Capote.

 

Mr. Jones

Secara naratif, cerpen ini berlaku di Brooklyn ketika musim sejuk tahun 1945 tentang seorang lelaki bernama Mr. Jones, yang digambarkan oleh penulis sebagai seorang yang cacat dan buta (sering memakai kacamata hitam). Mr. Jones tinggal di bilik bersebelahan penulis, dan oleh kerana keadaan fizikalnya yang cacat, ramai yang datang melawat Mr. Jones; membawa makanan dan memberinya wang. Penulis tidak pernah berbual dengan Mr. Jones, namun oleh kerana biliknya bersebelahan, dia dapat melihat penampilan rupa Mr. Jones dengan jelas; tanda lahir berbentuk bintang merah di sebelah pipi kirinya amat ketara. Mr. Jones sering menerima panggilan di waktu malam dan juga seawal jam enam pagi.

Kemudian penulis berpindah ke Manhattan dan hanya kembali beberapa bulan selepas itu untuk mengambil sekotak bukunya yang tertinggal. Mr. Jones hilang begitu sahaja, namun barangnya masih ada.

Sepuluh tahun berlalu, di Moscow, plot twist berlaku.

Secara keseluruhannya, saya berpuashati dengan kesemua cerpen Truman Capote. Saya mengambil masa masa satu setengah jam untuk menghabiskannya. Jika anda berminat untuk membaca, mungkin boleh mendapatkannya di amazon.com. Saya tidak pasti jika ianya boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran, tetapi boleh cuba lihat. Ada juga antologi yang lain dari Truman Capote yang menghidangkan cerpen-cerpen di atas.

My Side of the Matter (Pocket Penguins 70’s)
Siri: Pocket Penguins 70’s
Kulit Nipis: 64 mukasurat
Penerbit: Penguin Books Ltd (2005)
Bahasa: English
ISBN-10: 0141022175
ISBN-13: 978-0141022178
Saiz: 4.4 x  x 7.1 inci

Tentang Truman Capote

Penulis novel dan playwright, Truman Streckfus Persons dilahirkan pada tahun 1924 di New Orleans. Bapanya Arch Persons adalah seorang jurujual manakala ibunya, Lillie Mae Faulk, seorang ratu cantik ketika berusia 16 tahun. Kedua ibubapa beliau bercerai ketika beliau berusia empat tahun dan beliau dipelihara oleh beberapa orang keluarga terdekat selama beberapa tahun di Monroeville.  Ibunya kemudian berkahwin dengan seorangan usahawan bernama Joseph Capote, yang kemudiannya mengambil beliau sebagai anak angkat lalu dan menukarkan namanya ke Truman Garcia Capote. Beliau mendapat pendidikan di Greenwich High School.

Truman Capote mula menulis sejak berumur 11 tahun dan beliau berpendapat dengan pengalaman yang ada, beliau tidak perlu ke kolej, dan mula bekerja seawal umur 17 tahun di syarikat penerbitan majalah, The New Yorker.

Karya-karya beliau: Breakfast at Tiffany’s (1958) Christmas Memory (1996), One Christmas (1996), and A Thanksgiving Visitor (1996), 6th Fontana Book of Great Horror Stories, the (1971), Great Tales of Horror and the Supernatural (1981), Art of the Tale, the (1986), World of the Short Story, the (1986), Other Voices, Other Rooms (1948), Grass Harp, the (1951), Breakfast at Tiffany’s (1958), In Cold Blood (1965), Summer Crossing (2005), Shut a Final Door (1947), Jug of Silver (1952).

Sahabat baik kepada Harper Lee (penulis novel To Kill a Mockingbird) ini meninggal dunia pada tahun 1984 di usia 59 tahun.

 

 

 

 

About Poeta 17 Articles

Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.