Kata-kata dan Kita

Kuasa kata. Pernahkah kita dengar tentang kata-kata dan kuasanya?

Seorang ibu diminta menjaga kata-katanya terhadap anak-anak kerana kata-kata ibu dikatakan ‘masin mulut’ dan ‘doa’ kepada anak-anaknya. Begitulah pernah diriwayatkan dalam Quran dan juga hadis tentang doa dan kata-kata ibu yang dikatakan mustajab kerana kedudukan ibu itu sendiri begitu mulia dalam Islam.

Banyak kisah boleh dibaca mengenai mustajabnya kata-kata ibu. Namun, saya tak akan mengulas hal itu di sini.

Bagaimana dengan kata-kata orang lain? Maksudnya kata-kata kita terhadap sesuatu dan seseorang yang lain? Adakah kita bebas berkata tentang sesuatu tanpa memikirkan impak kata-kata itu kepada diri sendiri dan orang lain.

Kisah ini sudah lama berlalu dan saya sengaja melupakannya kerana ia merupakan peristiwa yang perit untuk saya bawa dalam perjalanan masa kini. Saya lupakan sehinggalah suatu hari saya bertemu dengan seorang rakan yang pernah sepejabat di tempat kerja lama.

Perbualan kami menyinggah kepada beberapa hal masa kini sehingga meleret kepada pengurusan kerja di organisasi yang pernah saya berkhidmat. Dari satu kisah membawa ke sebuah kisah lain.

Nina dan Kata-kata.

“Kau tahu tak Nina (bukan nama sebenar) sudah bercerai dengan suaminya?” kata Mazni (bukan nama sebenar).

Saya yang sedang menghirup kopi terus tersedak. Sambil mengelap bibir dan meletakkan cawan di tempatnya, saya lantas bertanya, “Sejak bila? Bukankah dia baru mendapat anak kedua? Bukankah mereka sangat bahagia?”

“Ada orang ketiga. Nina curang. Dengan rakan sepejabat.” Mazni menjawab teka-teki itu dan saya beristighfar panjang-panjang.

Saya betul-betul terkejut. Kepala jadi sakit dan segera saya menghabiskan sisa kopi dalam cawan. Pertemuan kami berakhir petang itu tetapi cerita tentang Nina masih bergulat dalam kepala saya.

Ada cerita lain antara saya dengan Nina. Dan ia merupakan kisah yang memeritkan buat saya.

Beberapa tahun dahulu semasa bertugas sejabatan dengan Nina, saya adalah kawan yang paling akrab dengan Nina. Semasa Nina berkahwin, saya menghadiri majlisnya dan gembira melihat dia berkahwin dengan lelaki pilihannya. Setahun kemudian, Nina dikurniakan seorang cahaya mata yang comel. Kehidupan Nina tiada cacat cela. Mereka sering makan angin dan berswafoto sekeluarga dengan pakaian sedondon. Pendek kata Nina amat bahagia, bertemu dengan lelaki idamannya dan membina sebuah keluarga yang harmoni. Sebagai kawan, saya meraikan kebahagiaan Nina. Kami banyak berkongsi cerita dan meraikan majlis-majlis penting bersama.

Namun, entah apa silapnya, tiba-tiba Nina menjauhkan diri daripada saya. Kerana tidak sedap hati, saya bertemu mata dengan Nina dan bertanyakan sebabnya. Nina mengelak-elak untuk bertentang mata dengan saya dengan alasan dia sibuk dan stres. Tapi saya tahu ada perkara lain yang Nina sorokkan daripada saya. Hubungan kami semakin renggang. Nina mula menunjukkan sikap mengelakkan-elak berada dalam satu tempat jika saya ada. Saya bertanya tetapi Nina hanya mendiamkan diri sehinggalah suatu hari seseorang menyampaikan kata-kata Nina kepada saya.

Nina berkata hal buruk tentang saya. Katanya saya ada membuat hubungan tidak sah (skandal) dengan seorang rakan yang lain. “Harapkan pakaian saja elok. Malu aku bila lelaki itu kata dia dah lama berskandal dengan Laila. Malu aku ada kawan begitu. Skandal, suka kikis duit lelaki dan mudah melayan. Aku tak mahu lagi berkawan dengan dia.” Demikian kata-kata Nina yang disampaikan kepada saya.

Terkejutnya saya mendengar cerita itu. Ya, saya ada berkawan dengan lelaki yang dimaksudkan tetapi tidak lebih dari sekadar kawan. Sebenarnya lelaki itu memang mengacau saya sehingga saya bercakap kasar dengannya. Tidak sangka lelaki itu sakit hati lalu memfitnah dan memburuk-burukkan saya.

Saya diam. Menangis. Bukan kerana difitnah tetapi kerana sedih, Nina kawan saya, seharusnya dia bertanya kepada saya secara terus dan bukannya mendengar cerita dari sebelah pihak. Namun, tidak pula saya mempertahankan diri kerana saya tahu, dalam keadaan begini, Nina tak mahu mendengar apa-apa penjelasan. Ditambah lagi dengan sikapnya yang mengelak-elak bertemu muka dengan saya.

Apalah daya saya ketika itu. Hanya berdoa semoga fitnah itu tidak berpanjangan. Saya meninggalkan kisah itu apabila mendapat tawaran bekerja di tempat lain.

Dan hari ini saya mendengar kisah Nina yang sebegitu, saya jadi teringat tentang kisah lama. Nina mengata saya tentang sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. Dan sekarang dia melakukan hal itu – hal yang dituduh-tuduh kepada saya. Nina berskandal dengan rakan sepejabat sehingga meruntuhkan mahligai bahagianya sendiri.

“Ramai yang nampak Nina keluar makan berdua dengan lelaki itu.” Mazni berkata dengan sedih. Dan saya teringat, ketika Nina berkata buruk tentang saya, dia tidak nampak saya melakukan hal tak baik dengan lelaki tersebut. lelaki itu menyampaikan cerita tidak betul dan Nina terpengaruh malah melemparkan kata-kata nista kepada saya.

Kini, Nina diuji dengan kata-katanya sendiri – kata fitnah kepada saya.

 

Kata-kata ialah Ujian.

Saya sedih dengan nasih Nina. Tetapi, dalam masa yang sama saya insaf, betapa benarlah peringatan yang dituliskan melalui Quran dan hadis bahawa kata-kata kita juga adalah ujian buat kita. Bagaimana Tuhan memberitahu, setiap apa yang kita katakan akan diuji pula kepada kita.

Allah telah berfirman: “Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?” (QS Al-Ankabut:2-3).

Begitulah. Saya menjadi semakin berhati-hati apabila mengeluarkan kata-kata. Tidak sewenang-wenangnya saya melemparkan persepsi tentang sesuatu perkara. Saya cuba menjaga kata-kata sendiri yang terkeluar dari bibir, yang tertulis melalui tangan di media sosial mahupun yang terdetik di hati.

Seboleh-bolehnya, saya akan meletakkan fikiran di sudut positif terhadap apa-apa perkara yang mendatangi saya.

Mengimbas kisah Nina, juga saya tidak mendoakan yang buruk-buruk ketika dia mengeluarkan kata-kata nista terhadap saya. Saya percaya doa orang yang dianiaya mustajab dan saya berserah kepada Allah untuk memelihara diri saya daripada berasa sedih.

Tiga macam golongan yang doanya mustajab dan tidak diragukan lagi kedahsyatannya. Yakni doa orang tua kepada anaknya, doa musafir (orang yang sedang berpergian), dan orang yang dizalimi.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Sehingga hari ini, apa juga perkara yang saya hadapi, seboleh-bolehnya saya akan mengelak untuk memberi justifikasi. Saya bimbang jika kata-kata saya menjadi ujian kepada diri sendiri.

Media Sosial dan Kebebasan Kata-kata.

Jika kita lihat, di media sosial seperti FB atau Twitter mahupun Instagram, betapa manusia hari ini sangat bebas berkata-kata (melalui tulisan). Seperti si bisu mendapat suara. Semua perkara mahu ditulis dan dikomen.

Jika ada suatu isu berlaku atau ditularkan, beribu komen boleh dibaca. Dan kebanyakannya komen negatif sehingga mencetuskan pergaduhan. Betapa mudah manusia memberi justifikasi terhadap sesuatu. Sebagai contoh: Jika seorang menteri memberi saranan yang tidak masuk akal, mudah sahaja pihak yang tidak sealiran akan memberi komen, ‘Menteri bodoh. Cakap tak guna otak’ dan macam-macam komen negatif seumpamanya. Padahal hakikat sebenar, wartawan yang membuat liputan tidak menuliskan selengkapnya pendapat menteri berkenaan sehingga kenyataannya dipandang negatif.

Begitu juga jika berlaku peristiwa kemalangan. Dengan mudah kita menyalahkan pihak yang terlibat, memberi persepsi liar, memberi komen dengan kata-kata kasar seolah-olah kita Tuhan, tahu segalanya, tahu kebenarannya.

Saya berasa sedih dan sakit jiwa melihat sikap masyarakat yang dipamerkan di media sosial. Masing-masing mengaku betul sedangkan pendapat mereka tidak benar dan tidak adil.

Pernahkan kita terfikir tentang apa-apa yang kita tuliskan itu? Wajarkah kita menulis demikian? Perlukah kita memberi pendapat demikian? Apa kesannya? Tidak takutkah kita diuji dengan kata-kata sendiri?

Baru-baru ini terjadi peristiwa kemalangan melibatkan seorang wanita muda yang dikatakan mengambil dadah dan merupakan seorang OKU. Wanita tersebut dikecam kerana memandu menyongsang arus sehingga melibatkan kematian seorang pemandu lain.

Kita boleh bersikap apologetik dan simpati kepada mangsa yang terkorban akibat kecuaian wanita muda itu.

Namun, kita tidak berhak menjatuhkan hukuman dengan kata cacian terhadap wanita muda tersebut. Sejauh mana kebijaksanaan kita menilai sesuatu sehingga yakin dengan pendapat yang dilemparkan?

Kita tak tahu keadaan sebenar wanita berkenaan. Dan selagi itu, biarlah polis menjalankan kerjanya. Tak perlu buang masa menjadi pembela masyarakat (kononnya).

Ingat kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa tentang kebijaksanaan dan tentang keupayaan manusia menanggapi sesuatu? Cuba cari kisahnya dan hadam.

Pengetahuan manusia amat kecil berbanding apa yang terjadi sebenarnya. Jika benar-benar mahu tahu, kajilah dan buatlah penyiasatan sendiri. Gunakan akal yang waras sebelum mengeluarkan pendapat.

Sebenarnya ada akta yang boleh dikenakan ke atas pengguna media sosial yang tidak pandai menjaga kata-kata sehingga boleh disabitkan dengan kesalahan menghasut dan memburukkan pihak lain. Sudah ada beberapa kes individu yang ditahan dan dikenakan tindakan undang-undang kerana mengeluarkan kata-kata nista dan berbaur hal sensitif di media sosial.

Tak perlu mengeluarkan kata-kata jika kata-kata tersebut tak membantu orang lain memperbaik keadaan. Fikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Berhati-hati dengan kata-kata kita.

Demikian, saya melihat kuasa kata-kata dan perkaitannya dengan kehidupan kita. Dan Nina adalah contoh terbaik untuk saya percaya bahawa kata-kata mempunyai kuasa tersendiri.

Jagalah kata-kata kita, sama ada melalui lisan atau tulisan. Kita akan diuji dengan apa yang kita katakan.

Kisah saya dan Nina akan saya simpan sebagai suatu pengejaran amat berharga buat diri saya.

About Laila Nufa 19 Articles

Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.