Puisi Melayu Tradisi

Selamat Hari Puisi Sedunia! Sempena hari yang istimewa ini, saya ingin kongsikan pembacaan saya tentang Puisi Melayu Tradisi. Maklumlah, saya ‘budak baru belajar’. Mungkin artikel ini juga sesuai untuk anda yang juga baru belajar. Sama-sama kita manfaatkan.

Puisi-puisi Melayu Tradisi merupakan warisan zaman-berzaman yang lahir sebelum zaman penjajahan Portugis (1511) di Melaka, sehingga belum nampak adanya pengaruh dari kebudayaan barat. Pemikiran nenek moyang kita dahulu yang kreatif melahirkan bentuk puisi yang terikat pada aturan tertentu, misalnya jumlah kata dalam satu baris, jumlah baris dalam satu bait, persajakannya (ritma), banyak suku kata di setiap baris, dan iramanya. Puisi lama datang dalam pelbagai bentuk iaitu pantun, syair, gurindam, seloka, bahasa berirama, teromba, rejang, mantera dan juga puisi saduran Arab-Parsi di dalam bentuk nazam, rubai, kit’ah, masnawi dan ghazal.

Maklumat ini saya rujuk secara ringkasnya dari buku Puisi Melayu Tradisi, terbitan DBP, disusun oleh Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh. Banyak kajian yang dibuat di dalam buku ini yang menerangkan hujah Pijnappel, Hessein Djajadiningrat, Zainal Abidin Ahamd, Wilkinson, Winstedt, Van Ophuijsen dan lain-lain lagi. Eloklah anda mendapat buku ini jika ingin membacanya dengan lebih lanjut.

*Rujukan: Puisi Melayu Tradisi, terbitan DBP, 2016.

Pantun

Pantun terbahagi kepada pantun dua kerat, empat, kerat, enam kerat, lapan kerat, sepuluh kerat, dua belas, tiga puluh dan juga berkait.

Ciri-ciri pantun:

  1. memiliki rangkap yang menggunakan bahasa-bahasa indah,
  2. *mempunyai 8 hingga 12 sukukata di dalam setiap baris,
  3. ada bahagian pembayang dan maksud; contohnya: di dalam pantun dua kerat, satu baris adalah pembayang, satu baris adalah maksud. Untuk pantun empat kerat, dua baris pembayang, dua baris maksud,
  4. Skim bunyian sama di penghujung: a-b-a-b atau a-a,
  5. memiliki simbol yang bersesuaian dengan adat dan budaya serta nilai murni.

Contoh pantun dua kerat:

Siakap senohong gelama ikan duri, (13 sukukata, -a-)
bercakap bohong lama-lama mencuri. (12 sukukata, -a-)

Contoh pantun empat kerat:

Yang kurik itu kundi, (7 sukukata, -a-)
Yang merah itu saga, (7 sukukata, -b-)
Yang cantik itu budi, (7 sukukata, -a-)
Yang indah itu bahasa. (7 sukukata, -b-)

*Ada pantun yang saya baca mempunyai sekurang-kurangnya 7 sukukata (contohnya ‘yang kurik itu kendi’) dan ada yang lebih dari 12 sukukata (contoh: siakap senohong gelama ikan duri – 13 sukukata). Apapun, saya pasti tetapannya adalah 8-12, dan jika terkurang atau terlebih sukukata tidak menjadi kesalahan.

Syair

Syair berasal dari Arab dan di dalam masyarakat Melayu, syair Bahasa Melayu yang awal dikesan di dalam syair-syair karya Hamzah Fansuri.  Syair boleh dibahagikan dengan syair sejarah, Roman, simbolik, agama, nasihat dan teka-teki.

Ciri-ciri syair:

  1. Setiap rangkap terdiri dari 4 baris
  2. Setiap baris terdiri dari 8 – 12 suku kata
  3. skim bunyi a-a-a-a
  4. umumnya menceritakan tentang kisah yang panjang

Contoh syair:

Kisah nan tidak hamba panjangkan,
ceritanya banyak lagi disebutkan,
ini sekadar sahaya ringkaskan,
kisah berperang pula diceterakan.

Adapun anakanda paduka ratu,
sebelas orang jumlah yang tentu,
laki-laki perempuan sekaliannya itu,
tua dan muda sama sekutu.

– keratan syair bertajuk Perang Saudara di Pahang, Syair Sultan Abu Bakar Johor

Contoh syair di atas ini mempunyai 135 rangkap! Lengkap untuk dijadikan sebuah buku cerita bersyair. Adapun, syair-syair memang panjang jalan penceritaannya; ada pengenalan, isi, konflik dan juga kesudahannya.

Gurindam

Gurindan berasal dari India dan isinya merupakan nasihat yang cukup jelas yakni menjelaskan atau menampilkan pengajaran.

Ciri-ciri gurindam:

  1. sejenis puisi bebas, jumlah baris, perkataan, sukukata tidak ditentukan,
  2. lazimnya terdiri dari beberapa rangkap dengan dua baris.

Contoh gurindam:

Carilah olehmu akan sahabat,
yang boleh di jadikan ubat.

Carilah olehmu akan guru,
yang boleh tahukan setiap seteru.

Carilah olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiakawan.

Seloka

Seloka bersifat mengejek, sindiran atau dalam nada jenaka, dan kadang-kadang mengandungi nada atau perasaan yang asyik dan berkhayal. Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang senada atau mempunyai irama, sehingga kadang-kadang seloka sama dengan peribahasa berirama.

Contoh seloka:

Aduhai malang Pak Kaduk,
ayamnya menang kampung tergadai,
ada nasi dicurahkan,
awak pulang kebuluran,
ada isteri dibunuh,
nyaris tak mati oleh tak makan,
….

Teromba

Teromba mengandungi adat dan peraturan hidup masyarakat khususnya tentang undang-undang adat, dikenali juga sebagai puisi adat.

Contoh teromba:

Katung-katung berisi manik,
manik berisi hampa padi,
sama yang datang silalah naik,
inilah airnya pembasuh kaki.

Dari jauh ke permatang,
tetak tangan papan kemudi,
dari jauh kami datang,
mendengar tuan yang baik budi.

Rejang

Rejang menumpang bentuk syair atau pantun yang menggunakan nama hari atau hari bulan berdasarkan firasat, reaksi dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan nama-nama binatang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.

Contoh rejang:

Hari ini hari Jumaat,
hari esok hari Sabtu,
kalau kita mahu selamat,
jangan tinggal solat lima waktu.

Mantera

Mantera adalah puisi tua yang ucapan-ucapannya dianggap memiliki kekuatan ghaib. Keberadaan mantra dalam masyarakat Melayu pada mulanya bukan sebagai karya sastra, melainkan lebih banyak berkaitan dengan adat dan kepercayaan, Ciri-ciri mantra, yaitu berirama akhir abc-abc, abcd-abcd, abcde-abcde; bersifat lisan, dan sakti atau magis; adanya perulangan; metafora merupakan unsur penting; bersifat esoferik (bahasa khusus antara pembicara dan lawan bicara) dan misterius; serta lebih bebas dibanding puisi rakyat lainnya dalam hal suku kata, baris dan persajakan.

Contoh mantera:

Sepemukul gendang ke laut,
sepemukul gendang ke darat,
yang aku pinta,
mana-mana sekalian anak cucu engkau,
tolonglah kawalkan anak cucu aku,

-Mantera Pendinding

Nazam

Tema dalam puisi nazam selalunya berhubung dengan persoalan keagamaan, pendidikan, dan keilmuan. Ada juga yang bertemakan nasihat, akhlak dan sebagainya. Mesej yang terkandung dalam nazam menggambarkan fungsinya yang tersendiri antaranya menyampaikan peristiwa sejarah seperti hal-hal yang berkisar dengan perjalanan hidup atau riwayat Nabi muhammad s.a.w, menyamaikan pengajaran agama seperti ilmu tauhid, dan menyampaikan nesihat dan pendidikan.

Contoh nazam:

Alhamdulillah qadim kita puji,
sebab dia boleh beri taufik kami.

Hai saudara ini satu nasihat akhir,
faham kamu baik-baik ambil fikir.

-Nasihat agama.

Rubai

Rubai selalunya bertemakan falsafah, persoalan tasawuf, agama, nasihat, dan sejarah. Puisi rubai bertujuan untuk panduan pendidikan.

Contoh Rubai:

Subhanahu Allah apa hal segala manusia,
yang tubuhnya dalam tanah jadi duli yang sia,
tanah itu kujadikan tubuhnya kemudian,
yang ada dahulu padanya terlalu mulia.

Kit’ah

Bersifat pemikiran dan renungan yang selalu membawa mesej yang bersifat luhur dan berfikiran tinggi (falsafah).

Contoh kit’ah:

Jikalau kulihat dalam tanah pada ihwal sekalian isan,
Tiada kudapat bedakan pada antara rakyat dan sultan,
Fana juga sekalian yang ada, dengarkan yang Allah berfirman,
Kullu man’alaiha fanin, yaitu,
Barangsiapa yang di atas bumi ini fana jua.

Masnawi

Masnawi adalah jenis puisi Malayu lama yang berasal dari sastra Arab- Parsi. Jumlah larik dalam setiap baitnya agak bebas, dengan skema rima berpasangan dua-dua (a-a-b-b-c-c…. dan seterusnya), dan berisi puji-pujian untuk pahlawan.

Contoh masnawi:

Dengarlah olehmu, hai yang budiman,
Budi itulah sungguh pohon ahsan,
Kerana ahsan itu puri budilah,
Jika lain maka lain jadilah,
Orang yang berbudi itu kayalah,
Yang bukan berbudi itu papalah,
Jikalau kau dapat harta alam ini,
Dan budi kurang padamu di sini,
Bahawa ke sini jua namamu,
Dan segala ke sini pun adamu,
Jika kamu mahu menjadi kaya,
Mintalah budi bagimu cahayai,
Hai Tuhanku, Bukhari yang biasa,
Minta selamat budi sentiasa,
Sudah taju’ssalatin fi’lawhir,
Dan Bukhari dengan taju itu fakir,
Seribu syukur keada Tuhannya.
-Bukhari al-Jauhari, Tajus Salatin.

Ghazal

Puisi yang berasal dari Arab-Parsi ini merupakan sejenis nyanyian dalam kalangan orang muda yang dalam percintaan. Adakalanya setiap rangkap terdiri dari lapan baris dan tiap barisnya berakhir dengan kata yang sama.

Contoh ghazal:

Anak bujang bermain gambus
Gambus sebagai pengiring gazal
Cinta di hati teramat tulus
Kepada bujang berambut ikal.

Anak bujang bermain gambus
Teramat merdu terdengar melodi
Lihatlah bujang berambut lurus
Dia pun pandai memikat hati.

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.