15 Pilihan Buku Kanak-Kanak Terbaik 2015

“Melentur buluh biarlah daripada rebungnya bagi mendidik kanak-kanak dalam bidang sastera,” demikian menurut Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan ketika merasmikan Festival Sastera Kanak-Kanak  yang di anjurkan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) dua tahun yang lalu. Tujuan festival ini adalah untuk membantu mengenal pasti kandungan buku kanak-kanak yang boleh memberi inspirasi, berinformatif dan membantu memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

Meskipun telah dua tahun berlalu, berikut adalah 20 buku kanak-kanak tempatan (yang masih lagi relevan) yang dianugerahkan sebagai yang terbaik pada tahun 2015 oleh PKB sempena Festival Sastera Kanak-Kanak pada tahun tersebut.

 

Kategori Buku Awal Kanak-Kanak

1. My Father’s Farm, Emila Yusof 
Terbitan Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Kisah harian seorang budak perempuan bernama Dina yang suka membantu ayahnya di kebun. Di kebun, Dina belajar mengenali nama-nama peralatan dan juga haiwan-haiwan yang dipelihara oleh bapanya. Buku ini membantu kanak-kanak di bawah umur 6 tahun untuk belajar Bahasa Inggeris dengan mudah disamping mengenalpasti objek-objek di sekeliling mereka.

 


2. Phonics Junction for Little Muslims
Terbitan: Playworks Consultancy (ilustrator: Yez Yusof)
Bahasa Inggeris

Pembelajaran fonik yang menyeronokkan untuk  kanak-kanak bermula dengan abjad dari A hingga Z. Mendedahkan kanak-kanak Muslim dengan perbendaharaan kata yang berkaitan dengan Islam; contohnya: Allah, Bismillah dan sebagainya.

 

3. My Mother’s Kitchen, Emila Yusof
Terbitan Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Kisah harian seorang budak perempuan bernama Dina yang suka membantu ibunya di dapur. Dina belajar mengenali nama-nama peralatan di dapur dan nama bahan-bahan masakan yang digunakan oleh ibunya. Buku ini membantu kanak-kanak di bawah umur 6 tahun untuk belajar Bahasa Inggeris dengan mudah disamping mengenalpasti objek-objek di sekeliling mereka. Versi Bahasa Melayu bagi buku ini telah diterbitkan oleh Grup Karangkraf.

 

Buku Kanak-kanak (6-12 Tahun)

4. Under The Sea, Nor Azhar Ishak
Terbitan: Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Di dunia bawah lautan yang berwarna-warni terdapat pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan; ada terumbu karang, ikan yu gergasi, ikan kecil, tapak sulaiman dan pelbagai lagi. Buku ini mengandungi fakta mengenai alam di bawah lautan dan dihasilkan dengan menggunakan teknik batik. Terdapat juga helaian di mana kanak-kanak boleh mewarna mengikut lukisan asal.

5. Mila’s Big Curly Hair, Maslina Yusoff
Terbitan: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Bahasa Inggeris

Mila tidak suka rambutnya yang kerinting dan mengimpikan rambut yang cantik dan lurus. Suatu hari Mila bangun dan mendapati kepalanya botak. Baca kisahnya yang lucu.

 

6. Sarah dan Kerusi Ajaib, Amir Sabri & Nor Azri
Terbitan: Grup Buku Karangkraf Sdn. Bhd.
Bahasa Melayu

Wah, rajinnya Sarah membaca! Dia suka membaca di atas kerusi kayu di belakang rumahnya. Pada suatu hari, ada sesuatu yang sangat pelik berlaku semasa Sarah sedang membaca. Apakah yang berlaku?

Buku Bergambar

7. Legendary Princesses of Malaysia, Raman Krishnan & Emila Yusof
Terbitan: Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Kisah dongeng 10 orang puteri di Malaysia; sama ada mitos, juga kisah benar yang telah ditokok-tambah sejak turun temurun. Namun kesemua puteri dalam buku ini digambarkan sebagai bijaksana, cantik, berani dan berhati mulia. Antara puteri-puteri yang dikisahkan dalam buku ini ialah Puteri Gunung Ledang, Puteri Lindungan Bulan, Puteri Sejinjang dan Santubong dan Puteri Ulek Mayang.

 

8. The Castle Library, Hayati Hanif & Evi Shelvia
Terbitan: Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Menceritakan kisah seorang puteri cilik dan bijaksana bernama Puteri Lily. Puteri Lily suka mengembara serata dunia untuk menambah ilmu pengetahuan. Puteri Lily mengembara ke Tembok Cina, Menara Condong Pisa, Gunung Everest dan merata ceruk dunia. Apabila semua tempat di dalam dunia telah dilawatinya, Puteri Lily melawat bulan. Setelah tiada tempat lagi untuk baginda lawati, Puteri Lily merasa bosan. Pada suatu hari baginda pergi ke perpustakaan yang telah dibina oleh moyangnya dahulu. Puteri Lily mula membaca dan dia mula mengembara ke alam lain.

 

9. The Last Dream of the Old Oak Tree, Hans Christian Andersen,
adaptasi oleh Chooi Ling Keiong
Terbitan: Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Adaptasi dari buku yang ditulis 150 tahun yang lalu oleh Hans Christian Andersen. The Last Dream of the Old Oak Tree adalah kisah yang hidup yang bermusim yang berakhir dengan harapan dan kesyukuran. Versi adaptasi ini diringkaskan supaya mudah untuk kanak-kanak memahami jalan penceritaannya. Iany juga dipenuhi dengan ilustrasi yang cantik dan menarik.

Buku Rujukan Kanak-Kanak

10. Siri Jejak Pengangkutan
Terbitan: Arus Intelek Sdn. Bhd.
Bahasa Melayu

Merupakan koleksi buku dokumentari sains dan teknologi yang memaparkan perkakasan dan peralatan canggih yang berupaya menjejak dan mengesan pergerakan sebarang objek di udara, darat ataupun di dalam laut. Siri ini bermatlamat memberi pendedahan tentang teknologi masa kini.

 

11. Sayangku Cepat Pandai: Perkataan Pertama
Terbitan: Mind to Mind (M) Sdn. Bhd.
Bahasa Melayu

Kamus Bergambar 3 bahasa Sayangku Cepat Pandai Perkataan Pertama diterbitkan khusus untuk membantu mengembangkan minda kanak-kanak untuk mengenal objek dan menyebut perkataan dengan betul. Dengan bantuan ilustrasi berwarna-warni dan menarik boleh membantu kanak-kanak memahami dengan lebih mudah.

Keistimewaan : Ada tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab.

 

12. Siri Meneroka Sains
Terbitan: Azila Media
Bahasa Melayu

Siri ini diterbitkan dalam lapan topik: Haiwan, Tenaga, Tumbuhan, manusia, Serangga, Alam Semulajadi, Dunia Bahan dan Dunia Teknologi. Siri ini diolah khas menepati sifat ingin tahu kanak-kanak.

Buku Elektronik

13. Anak-anak & Bongkoron

Terbitan: Big Tent Entertainment Sdn. Bhd.
Bahasa Melayu

Anak-Anak & Bongkoron ialah cerita rakyat dari Borneo tentang dua pahlawan yang perlu membuktikan kemahiran memburu mereka sebelum mereka boleh berkahwin. Yang baik hati dan rajin bernama Anak-Anak, manakala si pembuli yang malas bernama Bongkoron. Semasa mereka mengembara, mereka terserempak seorang perempuan tua di tepi sungai yang menawarkan bantuan jika mereka boleh membantunya memusnahkan tamannya juga memukul anak-anaknya yang nakal. Anak-Anak tidak sampai hati dan sebagai balasan, perempuan tua memberinya ganjaran  labu muda yang berubah menjadi seorang wanita cantik sebagai pengantin perempuan. Bongkoron menjalankan tugas dengan senang hati. Apakah dia mendapat ganjaran yang sama? Kanak-kanak boleh memilih untuk menggunakan Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin atau Bahasa Melayu.

 

Buku Pilihan Ibu Bapa

14. My Father’s Farm, Emila Yusof
Terbitan: Oyez!Books
Bahasa Inggeris

Maklumat sepeti di nombor 1 di atas.

Buku Pilihan Kanak-Kanak

15. Dengarlah Cerita Cahaya Hati
Terbitan: Mind to Mind (M) Sdn. Bhd.
Bahasa Melayu

Buku ini menghimpunkan sejumlah 28 buah cerita yang sesuai dibaca oleh kanak-kanak juga dijadikan sebagai bahan storytelling oleh ibubapa dan guru. Setiap cerita menerapkan nilai murni dan pengajaran yang boleh membantu membina generasi yang berakhlak mulia.

About Poeta 17 Articles
Seorang yang suka membaca puisi dan berangan.