Kapur Kasut vs Kapur Tulis: Menarik Diri Kembali ke Alam Persekolahan

 

Saya bilang sampai 10. Kalau tak dapat, buku ini akan melayang ke muka kamu!” Suara cikgu Mat Kemin memenuhi segenap ruang kelas kami.

 

Demikian, salah satu dialog dalam satu antara 50 buat kisah pendek yang dibaca ini, terus menggamit zaman persekolahan yang mempunyai pelbagai cerita – manis, pahit, penuh kenangan.

Kapur Kasut vs Kapur Tulis, membaca tajuknya sahaja sudah dapat dibayangkan apakah bentuk cerita yang akan dihidangkan. Ternyata telahan tidak salah. 50 kisah zaman persekolahan dihimpunkan oleh 50 penulis pelbagai latar belakang dan umur.

Koleksi 50 kisah alam persekolahan ini terus membawa kita kepada siri-siri kisah yang selalu kita dengar, baca dan juga alami. Buku ini, berjaya membawa pembaca menelusuri kembali kisah-kisah penuh nostalgia itu. Memetik kata-kata yang tercatat di bahagian belakang buku:

… bukan semata-mata rakaman kenangan yang sekadar bernostalgia. Terkandung di dalamnya pengajaran, motivasi, inspirasi malah teladan dan sempadan kepada semua pembaca.

Antara kisah yang dikongsikan di dalam buku ini ialah tentang konflik antara pelajar dan guru – membawa pengalaman dan pembentukan penulis pada hari ini. Sejauh mana guru mengenali pelajarnya? Saya tertarik dengan cerita bertajuk Guru Matematikku oleh Mat Lawi Hassan (m.s 44) yang menceritakan tentang konflik Badrul dengan guru matematiknya yang garang, Cikgu Maimunah. Kelemahan Badrul dalam mata pelajaran itu bersebab.

“Selepas waktu persekolahan, dia akan ke gudang getah Ah Chye. Dia akan potong getah sekerap. Apa yang Ah Chye arahkan, semua dia lakukan. Dia rela berendam dengan bau busuk getah sekerap demi upah yang diberikan Ah Chye. Upah itu akan dibelinya beras, sardin dan telur. Agar Nenek Som dan dia tidak kebuluran.

Watak Badrul, walaupun tidak bernasib baik, tetap berusaha untuk mencapai kejayaan. Kegarangan Cikgu Maimunah, walaupun guru itu tidak memahami keadaannya, tidak dijadikan dendam malah menjadikan Badrul lebih berusaha.

Cerita mengenai konflik pelajar dan guru juga disebut dalam beberapa kisah lain seperti dalam cerita Kerana Sebatang Rotan karya Shazam Zulkifli (m.s 61). Sebatang rotan mendidik penulis menjadi manusia bagaimana kisah zaman kecilnya yang degil dan menyusahkan ibu bapa dan guru melahirkan dirinya yang gigih sehingga menjadi guru – dan seterusnya dengan bijak menangani masalah yang sama disekolahnya.

Sebuah lagi kisah berkenaan konflik dengan guru yang menarik untuk direnungi melalui cerita Memori Tak Terpadam karya Muhammad Fatrim (m.s 104) yang mendendami ustaznya sehingga membawa kepada peristiwa tak terjangka dan akhirnya menyedarkan dirinya bahawa dendam merupakan sesuatu yang perlu ditangani dengan baik.

Kenapa saya bertindak sehingga sedemikian rupa? Apa tidak bertuhan? Apa tidak ingat keluarga? Apa tidak ingat ibu bapa? Apa yang boleh saya katakan, saya sangat malu dengan tindakan tersebut. Seperti yang saya katakan, jiwa remaja masa itu sangat panas. Yang menyebabkan saya mahu bertindak demikian adalah ingin membalas dendam terhadap ustaz yang sungguh saya benci kerana kerap kali menyusahkan saya dan orang lain.

Kisah konflik antara pelajar dan guru sememangnya kisah yang tidak pernah lekang dalam zaman persekolahan. Kisah begini yang banyak ditemui dalam buku ini dan ia memberi pendedahan bahawa manusia sentiasa berkonflik dengan sesiapa sahaja hatta seorang guru.

Apa yang penting ia harus ditangani dengan bijak oleh kedua-dua belah pihak. Kisah sama boleh dilihat melalui cerita bertajuk Ustaz Majnun dan Miss Raju Merajuk tentang bagaimana seorang murid harus beradab dengan gurunya.

Selain kisah konflik antara pelajar dengan guru, pembaca juga dihadapkan dengan kisah buli yang sememangnya tidak pernah lekang sejak dahulu sehingga kini. Buli berlaku pada sesiapa sahaja. Jika terjadi di sekolah, bagaimanakah anda menghadapinya.

Kisah buli selalunya berakhir dengan kejayaan kepada mangsa. Ini dibuktikan melalui cerita Saya Mangsa Buli karya RMN (m.s 36) diceritakan bagaiman seksanya penulis menghadapi buli oleh rakan sekelasnya, JJ.

Jika satu hari JJ tidak datang ke sekolah, maka sayalah orang yang paling bahagia. Dan kerana ‘kenakalannya’ membuli saya selalulah saya kira azam yang kuat tertanam dengan tidak sengaja di dalam diri untuk mengalahkannya dalam pelajaran. Dengan harapan bolehlah saya berhijrah ke kelas yang lain, atau memasuki mana-mana institusi pengajian. Kalau angan itu tercapai, “Selamat tinggal JJ!” jerit saya dalam hati.

Selain itu, beberapa kisah lagi mengisahkan hal buli yang menyakitkan. Antaranya, dalam kisah bertajuk Hutang Kaki oleh Ismi Puadovich (m.s 153), diceritakan bagaimana pembuli menerima balasan, kalaupun bukan pada waktu itu, tetapi pada masa akan datang. Anak pembuli dibuli!

Tuan, saya Puan Juliana, Penolong Kanan Sekolah Menengah Sultan Izzuddin. Saya nak beritahu, anak tuan dimasukkan ke hospital pagi tadi. Dia muntah darah akibat dibelasah pelajar senior. Kesnya berlaku semalam. Kami dah tangkap pelakunya. Saya minta Tuan datang ke hospital atau ke sekolah untuk berbincang.”

Kisah lain tentang buli ialah melalui cerita Mangsa oleh Adli Abdullah (m.s 178) yang menceritakan pengalamannya sebagai orang kurang upaya (OKU) yang sering dibuli di sekolah. Demikian penulis meninggalkan pesan, jika anak anda malas ke sekolah, siasatlah puncanya. Mungkin anak anda salah seorang mangsa buli!

Zaman persekolahan tak lekang dek kisah-kisah penuh kenangan seperti  kisah ikan laga nipah dan kegigihan semasa zaman persekolahan melalui cerita Mengejar Usia Dewasa karya Saiful Ghazali (m.s 7). Juga, penceritaan zaman persekolahan tahun 80-an yang menemukan pembaca dengan kasut getah, beg guni, jalan berkaki ayam, berbasikal melalui cerita Hero Kampung yang Sedar Diri karya Web Sutera (m.s 17).

Kapur Kasut vs Kapur Tulis juga menggamit kenangan sesiapa yang pernah tinggal di asrama. Asrama merupakan tempat yang paling banyak meninggalkan memori pahit manis kepada penghuninya. Antara kisah yang menarik ialah tentang Spirit of The Coin permainan gila penghuni asrama dan beberapa pengalaman seram yang menjadi ingatan kepada penghuninya termasuklah kisah ‘fly’ daripada asrama yang akhirnya memberi pengajaran bukan sedikit kepada penulisnya.

Melalui cerita Spirit of the Coin karya Dr. Azizon Othman (m.s 54), permainan itu diperkenalkan kepada pembaca dan menjadi pengajaran bahawa permainan yang berunsur syirik itu tidak perlu dicuba-cuba.

Siapa yang tak pernah dengar kisah asrama dan histeria? Kisah ini diceritakan oleh Alang Ana melalui kisahnya yang bertajuk Budak Asrama (m.s 166);

Masa nak ke bilik air tadi, nampak ada sorang perempuan rambut serabai tengah gigit pad berdarah. Perempuan tu marah. Dia kata ada orang tak basuh pad. Masa tu memang terkejut. Sedar-sedar korang semua ada kat sini.” Kami semua berpandangan. Masing-masing menggigil. Waktu siang pun boleh muncul? “Aku takuttt…..” tangis Hazirah.

Sekolah sentiasa memberi kenangan yang bukan sedikit kepada sesiapa pun. Membaca 50 buah cerita dalam buku terbitan  Metromedia Solutions dengan kerjasama Komuniti Celikhuruf ini benar-benar membawa kita kembali kepada zaman persekolahan yang membawa pelbagai cerita.

Gelaran-gelaran di sekolah yang membawa kepada ingatan tak pernah padam sehingga hari ini. Dengan gelaran itu jugalah kita paling ingat kawan-kawan di sekolah (Saya yang Bergelar, Layla Haq, m.s 12). Bagaimana dengan anda? Apa gelaran anda di sekolah?

Begitu juga dengan kisah persahabatan di alam persekolahan yang banyak diceritakan melalui beberapa kisah dalam buku ini. Persahabatan dan persekolahan tidak pernah berpisah. Masihkah kita ingat kawan-kawan yang menyumbang kenangan pahit manis semasa kita sekolah dahulu?

 

Sekolah juga menyumbang kepada pengalaman  yang menumbuhkan semangat yang luar biasa seperti dalam kisah Apabila Alif Berbaris di Atas karya MIAR (m.s 26).

Sayangnya, datuk saya tidak dapat menyaksikan pencapaian cucunya kerana beliau telah pergi terlebih dahulu untuk menyahut seruan Ilahi. Datuklah guru saya yang pertama. Beliaulah yang mengajar saya membaca Muqaddam dan membaca tulisan jawi, sementelahan pula beliau ialah seorang Naib Qadhi merangkap imam pertama di felda ini. Dan saya nukilkan tulisan ini, untuk mengenang jasa seorang datuk yang telah mengajar cucunya apa ertinya apabila alif berbaris di atas dan ba berbaris di bawah.

Demikianlah, 50 kisah zaman persekolahan melalui buku ini dibongkar semula. Di dalam ini, selain kisah-kisah yang disebutkan di atas, anda juga akan bertemu dengan kisah kegilaan penulis membaca sehingga sanggup mencuri, salah pilih kawan, cinta monyet yang memberi kekuatan sehingga mengubah dan memberi kejayaan, kenangan pahit kehilangan kawan baik semasa sekolah, curi buku sorok dalam baju, permainan zero point dan banyak lagi.

Bak kata penerbit melalui blurb buku ini;

Siapa pun kita hari ini; baik menteri, kakitangan hospital, peguam, kontraktor, tukang kayu, drebar teksi, mahupun ahli silap mata, kita semua ada pengalaman yang terpahat dalam hati. Pengalaman-pengalaman itu meskipun pahit ketika kita menghadapinya, tetap manis dikenang pada ketika yang lain.

 

SELAMAT MEMBACA

KAPUR KASUT vs KAPUR TULIS

Koleksi 50 Kisah Alam Persekolahan

ISBN : 978-967-12597-1-9
Penyelenggara : Zonan Villa
Penerbit: Metromedia Solutions
Tahun Terbitan : 2015
Harga : RM 29 (SM), 32 (SS)

About Laila Nufa 18 Articles
Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*