Tiada Perkataan Susah dalam Kamus Hidup Emila Yusof!

Merenung karakter gadis comel berbaju kurung dan bertocang dua ini membuatkan kita terfikir, comelnya karakter ini setanding dengan karakter-karakter terkenal seperti watak kartun Pippi Longstocking, Gruffalo, Peter Rabbit, Dora, Miffy, Matilda, Eloise, Alice dan banyak lagi. Dengan pelbagai cerita mengiringinya, watak gadis bertocang bernama Dina ini boleh diangkat dalam bentuk siri kartun animasi yang perlu ditonton oleh kanak-kanak di seluruh dunia.

Siapakah pelukis  karakter Dina?

Emila Yusof, satu nama besar dalam industri buku bergambar kanak-kanak merupakan figura yang bukan calang-calang untuk diperkatakan lagi. Beliau yang berkeinginan memegang buku bergambar yang cantik, mula menanam cita-cita dan menguatkan usaha menghasilkan buku-buku bergambar khasnya buku kanak-kanak.

Sesuatu yang besar yang ingin dicapai tidak mudah diperoleh begitu sahaja. Menemu bual Emila, membuktikan setiap apa yang ingin dilakukan tidak semudah memetik jari dan berangan-angan kosong. Tumpuan yang jelas melalui fikiran dan kekuatan fizikal serta tahu apa yang ingin dilakukan akan menggerakkan kerja-kerja yang ingin dilaksanakan. Begitulah Emila bermula atas inisiatif sendiri dan terinspirasi daripada nama-nama besar ilustrator terkenal di seluruh dunia seperti Beatrix Potter, Maurice Sendak, Edward Gorey, Kay Nielsen, Cicely Mary Barker, dan banyak lagi, mempelajari selok-belok dunia ilustrasi yang nampak mudah tetapi sukar jika tidak bersungguh menekuninya.

Sehingga kini, 50 buah buku tertera nama Emila Yusof dengan tulisan dan ilustrasi yang cermat, teliti dan pastinya indah untuk tatapan kanak-kanak seluruh dunia.

TABULAKATA.com membawakan anda kepada Emila Yusof, penulis dan ilustrator buku bergambar kanak-kanak untuk menyelami lebih dalam dan meneroka keindahan dunia buku bergambar kanak-kanak yang kurang popular di Malaysia tetapi mempunyai potensi yang besar dan bermanfaat untuk industri buku dan pembangunan karakter kanak-kanak dan remaja untuk terus dihasilkan dalam pelbagai bentuk medium penyampaian.

 

BAGAIMANA EMILA BERMULA?

Semuanya bermula ketika saya mencari buku-buku pantun tradisional bergambar terbitan Malaysia. Saya tidak berjumpa yang elok. Kalau ada pun ilustrasinya tidak seperti yang diharapkan. Kemudian saya menyertai rangkaian ‘Illustration Friday’ secara dalam talian, di mana pelukis atau ilustrator harus melukis perkataan yang diberikan. Di situ terdapat ramai ilustrator buku bergambar yang aktif berkreatif, maka saya pun terus terinspirasi untuk membuat buku bergambar kanak-kanak. Saya juga ada menghantar penyertaan sekerap mungkin dan ulasan yang saya terima daripada rakan-rakan artis/ilustrator luar negara membantu saya untuk memperbaik ilustrasi saya.

 

Halangan pertama semasa menceburkan diri dalam bidang ini.

Saya teringat ketika mula membuat buku pantun bergambar 12 tahun yang lalu. Seorang rakan membantu saya untuk mencari penerbit. Rata-rata penerbit takut untuk menerbitkan kerana permintaan yang kurang dan juga kos yang tinggi kerana buku bergambar perlu dicetak berwarna. Jika diterbitkan pun, mereka takut buku tidak terjual kerana perlu meletakkan harga yang tinggi untuk sesebuah buku.

Itu 12 tahun dahulu. Sekarang ini, agak senang mencari penerbit kerana saya sudah kenal kebanyakan daripada mereka. Dan saya ada penerbit pilihan pertama untuk menerbitkan buku saya iaitu Oyez!Books. Alhamdulillah semua manuskrip yang saya suakan kepada mereka, mereka sudi terbitkan.

 

Kenapa memilih buku bergambar kanak-kanak?

Saya memilih buku bergambar kanak-kanak kerana saya dapati buku genre ini memang tersangat kurang jika dibandingkan dengan buku-buku lain. Yang ada sekelumit itu tidak dicetak dengan elok; kertas yang murah, kualiti rendah dan ilustrasi yang ala kadar (apa seadanya). Jika dibandingkan dengan luar negara, industri buku bergambar kanak-kanak di Malaysia masih lagi di peringkat bayi. Semasa pertama kali saya ke pesta buku antarabangsa, Bologna Children’s Book Fair 2010, saya amat terkejut melihat ribuan buku bergambar kanak-kanak yang dipamerkan dan dipromosikan! Terasa diri seperti hama dalam kalangan raksasa.

Buku-buku bergambar luar negara mempunyai ilustrasi yang sangat cantik! Saya nampak usaha para ilustrator yang sangat menitikberatkan kualiti ilustrasi. Dan dedikasi mereka tiada tolok bandingnya. Di Bologna Children’s Book Fair mereka sanggup beratur panjang untuk menunjukkan portfolio mereka kepada para penerbit.

 

Antara buku-buku bergambar oleh ilustrator antarabangsa yang memenangi anugerah di Pesta Buku Kanak-Kanak Bologna 2016.

Setiap ilustrator mempunyai karakter tertentu yang dibangunkan untuk mewakili karya ilustrasinya. Karakter bagaimanakah yang Emila cipta untuk khalayak pembaca?

Saya suka melukis karakter budak perempuan yang bulat dan comel. Karakter utama di dalam karya saya ialah Dina, budak perempuan bertocang dua. Dina adalah karakter di dalam buku bersiri saya iaitu My Mother’s Garden, My Mother’s Kitchen dan My Father’s farm.

 

Emila sudah menghasilkan berapa banyak buku? Boleh kongsikan buku apa yang paling meninggalkan kesan kepada diri semasa menghasilkannya?

40 buah buku. 10 tajuk telah diterjemahkan ke bahasa lain seperti Vietnam, Indonesia, Jerman dan Mandarin.

Buku yang pertama iaitu My Mother’s Garden’. Saya melukiskannya secara suka-suka sahaja sempena Drawing Day 2007. Kemudian, saya ditanya oleh penerbit (Oyez) pada tahun 2009 jika saya ada apa-apa buku yang boleh mereka pertimbangkan untuk diterbitkan. Saya pun menyerahkan manuskrip buku tersebut. Mereke bersetuju, tetapi dengan syarat saya harus melukisnya semula! Saya menyambut cabaran itu dan mengambil masa setahun untuk menyiapkannya. Alhamdulillah, buku tersebut terbit pada tahun 2010. Buku tersebut dekat dengan hati saya kerana bunga-bunga yang saya lukis itu semuanya ada di taman yang ditanam oleh emak saya. Buku tersebut telah masuk cetakan yang keempat.

 

Ilustrasi awal My Mom’s Garden yang dilukis beliau sempena Drawing Day 2007.

Pandangan terhadap industri buku bergambar kanak-kanak?

Saya tidak tahu bagaimana untuk mencari statistik jualan buku kanak-kanak di Malaysia, tetapi saya rasa industri ini perlu dipertingkatkan lagi di Malaysia.

Industri buku bergambar kanak-kanak sungguh rancak di luar negara. Di AS, buku kanak-kanak dan remaja (Young Adult) adalah kategori yang paling rancak kerana permintaan pasaran. Di Eropah, pertumbuhan yang menggalakkan adalah di sektor buku bergambar kanak-kanak. Di Beijing, ketika saya menghadiri pesta buku di sana, hampir kesemua buku bergambar kanak-kanak yang ‘best-selling’ dari AS dan Eropah diterjemahkan ke Bahasa Cina dan dijual di sana. Dan ketika menghadiri seminar di sana juga, syarikat Amazon China melaporkan jualan sebanyak 1 Billion Renminbi setiap bulan hasil daripada penjualan buku kanak-kanak sahaja!

 

Apakah perbezaan industri buku bergambar kanak-kanak dalam dan luar negara mengikut pandangan Emila sendiri?

Industri buku bergambar di Malaysia harus dipertingkatkan lagi. Jika dibandingkan dengan yang luar negara, Malaysia memang jauh ketinggalan; dari segi jumlah dan kualiti.

Memang ada buku-buku berkualiti yang diterbitkan oleh penerbit buku kanak-kanak prolifik iaitu Oyez!Books tetapi perlu juga daripada penerbit lain.

Saya nampak DBP sudah mula meningkatkan jumlah buku bergambar kanak-kanak dan ini sangat mengujakan. Namun banyak penerbit lain yang memperlahankan penerbitan kanak-kanak kerana tidak berapa menguntungkan. Sebenarnya menguntungkan atau tidak terpulang kepada penerbit kerana jika mereka terus menerus mempromosi buku bergambar dan mungkin cuba melibatkan penulis/ilustrator untuk turut sama menyertai roadshow atau event, ini akan memeriahkan lagi industri dan melakukan jualan.

 

Apakah yang menarik minat Emila untuk terus menulis buku bergambar kanak-kanak?

Saya ‘mencemburui’ industri buku bergambar kanak-kanak yang sangat meriah di luar negara dan saya akan terus menulis/melukis untuk memeriahkan industri ini di peringkat Malaysia.

 

Apakah peluang dan ruang bidang ilustrasi yang boleh dikongsi kepada umum, bakal ilustrator misalnya dan apakah pesanan kepada mereka?

Jika berminat menjadi ilustrator buku kanak-kanak, bolehlah belajar cara-cara menulis/melukis buku bergambar kanak-kanak daripada sumber-sumber percuma di Internet ataupun bengkel berbayar yang diadakan di sekitar Malaysia.

Walau apa pun yang anda buat, mula dari bawah. Skil melukis dan menulis tidak boleh dipelajari dalam masa sehari dua. Belajar, belajar dan belajar. Buat latihan berulang kali. Kalau sudah pandai sedikit, lihat balik dan cari kawan untuk minta pandangan.  Jangan berasa selesa dan menganggap percubaan pertama itu sudah cukup bagus. Terima kritikan. Perbaik dari masa ke semasa. Jangan mengeluh dan berkata ‘susah’. Perkataan ‘susah’ tidak patut ada dalam kamus hidup anda jika anda betul-betul mahu lakukannya. Lepas tu baru boleh pergi ke peringkat yang lebih ‘advance’ iaitu menulis/melukis buku bergambar.

Bagi saya, jika anda betul-betul ingin membuat buku bergambar, anda harus berusaha mengasah bakat melukis dahulu. Saya pasti anda tahu asas melukis kerana semasa di sekolah, mata pelajaran Seni itu diajar dari Darjah 1 hingga ke Tingkatan 5. Begitu juga dengan penulisan. Kita belajar asas menulis karangan dan tatabahasa di dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia.

Saya bukan mahu patahkan semangat anda saya sendiri mengambil masa 3 tahun untuk belajar melukis buku bergambar (self-taught). Saya cari maklumat, saya baca beratus buku bergambar, saya kaji setiap buku; cara penceritaan, komposisi ilustrasi, format, dan bermacam lagi yang saya lakukan untuk belajar.

Dan kalau mahu buat itu, buatlah bersungguh-sungguh kerana minat dan buat dengan hati yang ikhlas untuk memperbanyakkan lagi sastera kanak-kanak di Malaysia. Jangan melukis cincai hanya kerana inginkan wang.

 

Lima perkara menarik tentang Emila.

  1. Saya mendapat pendidikan seni hanya di sekolah rendah dan menengah. Yang selebihnya itu saya belajar sendiri kerana minat yang mendalam terhadap seni.
  2. Saya bekerja sebagai artis grafik selama 12 tahun (1995 – 2007)sebelum menceburkan diri dalam bidang ilustrasi. Peluang menjadi artis grafik itu terbuka apabila kelulusan yang diperlukan ketika itu ialah ‘kredit’ untuk mata pelajaran Seni di dalam peperiksaan SPM. Saya mendapat A1.
  3. Saya mempunyai pengalaman bekerja di dalam bidang penyiaran di bahagian grafik bilik berita dari tahun 1995 hingga pertengahan 1999.
  4. Kemudian saya bertukar ke bidang DTP dan bekerja di sebuah organisasi besar di Malaysia sehingga tahun 2007. Saya berhenti kerana memilih untuk mengambil VSS dan menjaga anak sambil bekerja di rumah.
  5. Sementara bekerja di rumah (pereka grafik bebas), saya menjual lukisan secara kecil-kecilan di E-bay dan Etsy pada tahun 2007 – 2009.

 

Lima perkara yang orang tak tahu tentang Emila.

  1. Ramai yang keliru dan menganggap saya anak kepada Yusof Gajah (Mohd Yusof Ismail).  Bapa saya yang sebenar bernama Mejar (B) Mohd Yusof Abdullah. Walau bagaimanapun, saya tidak tinggal bersama bapa kerana bapa saya telah bercerai dengan emak saya. Bapa saya pernah menulis dua buah buku yang diterbitkan oleh DBP dan kemudiannya menulis sebuah buku lagi (terbitan sendiri).
  2. Saya bekerja sejurus selepas tamat tingkatan 5. Saya tidak melanjutkan pelajaran ke kolej kerana membantu emak saya menanggung adik-adik yang masih bersekolah.
  3. Saya pernah dipaksa membaca berita oleh Ketua bilik berita, dan mendapati saya tidak sukakannya. Saya terus letak jawatan. Saya lebih suka bekerja di belakang tirai.
  4. Saya suka menjahit dan membuat kraf. Jika saya tidak menjadi ilustrator, saya pasti menjadi seorang tukang jahit dan tukang kraf.
  5. Saya separa kidal.

 

TENTANG EMILA

Nama Penuh: Nor Emila Mohd Yusof
Asal: Raub, Pahang
Tarikh Lahir: 21 Oktober 1969
Status: Berkahwin, anak satu, anak kucing 6.
Boleh ditemui di:
emilayusof@gmail.com
http://emilayusof.com
I
G: emilayusof

 

KARYA:

  1. Puteri Gunung Ledang 2017, Oyez!Books
  2. Hearts (Wordless Picture Book) 2017, Oyez!Books
  3. Emila’s Travelogue: Collection of Blogs from Emilatopia, Oyez!Books
  4. Princesses of Malaysia Colouring Book (2016), Oyez!Books
  5. Fleeting Moments: An Illustrated Haiku (2016), Oyez!Books
  6. My Mother’s Garden (2010), Oyez!Books
  7. My Mother’s Kitchen (2014), Oyez!Books
  8. My Father’s Farm (2015), Oyez!Books
  9. Tree House Colourart (2015), Oyez!Books
  10. Mother Earth Colourart (2015), Oyez!Books
  11. Nature Sings Colourart (2015), Oyez!Books
  12. Dreamworld Colourart (2015), Oyez!Books
  13. Malaysia Colourart (2015), Oyez!Books
  14. Siri Buku Kraf Bersama Kak Emila: Origami (2010), PTS
  15. Siri Buku Kraf Bersama Kak Emila: Kitar Semula (2010), PTS
  16. Siri Buku Kraf Bersama Kak Emila: Alam Semulajadi (2010), PTS
  17. Siri Buku Kraf Bersama Kak Emila: Kad Ucapan (2010), PTS
  18. Siri Buku Kraf Bersama Kak Emila: Kartun Haiwan (2010), PTS
  19. Siri Buku Kraf Bersama Kak Emila: Melukis Dinosaur (2010), PTS
  20. The Lil’ Guardian Flashcards (2011), Oyez!Books
  21. The Lil’ Guardian Alphabet (2013), Oyez!Books
  22. Alphabets For Boys (2014), Buku Prima Karangkraf
  23. Alphabets For Girls (2014), Buku Prima Karangkraf
  24. Taman Bunga Emak Saya (2014), Buku Prima Karangkraf
  25. Dapur Emak Saya (2014), Buku Prima Karangkraf
  26. Diya dan Biji Durian (2010)
  27. Legendary Princesses of Malaysia (2014), Penulis: K.Raman | Illustrator: Emila Yusof, Oyez!Books
  28. Ke Mana Perginya? (2013), Penulis: Nani Menon | Illustrator: Emila Yusof, PTS
  29. Jangan Takut! (2013), PTS
  30. Di Mana Ibu Saya? (2013), PTS
  31. Apa yang Bergerak? (2013), PTS
  32. Baju Cantik (2013), PTS
  33. Cuba Buat Sendiri (2013), PTS
  34. Kawan Baru Hanani (2011), Penulis: Nisah Haron | Illustrator: Emila Yusof, Buku Prima Karangkraf
  35. Biring Sikunani (2014), Penulis: Rahimidin Zahari | Illustrator: Emila Yusof, ITBM
  36. Over The Bridge (2015),  Penulis: Tang Su Lan (China) | Illustrator: Emila Yusof, Zhejiang Juvenile and Children’s Publishing House
  37. Nina dan Rama-rama, Penulis Author: Naemah Ismail | Illustrator: Emila Yusof, PNI Neuron
  38. Pelangi Pagi , Author: Mahaya Mohd. Yassin | Illustrator: Emila Yusof, Oyez!Books
  39. The Wonderful Adventure of Nils (China Publisher) 2016
  40. Bambi (China Publisher) 2016
  41. Coloring Book Dream World, Indonesia Version (2016), Penerbit Haru
  42. Mama Erde (Mother Earth) Colouring Book, Germany (2015), Feingespinst Verlag
  43. Liebe Natur (Nature Sings) Colouring Book, Germany (2015), Feingespinst Verlag
  44. Mama’s Garten, Germany (2015), Feingespinst Verlag
  45. Nhà Cây (Colouring Book), Chi Books, Vietnam (2015)
  46. Me Trái Dat (Colouring Book), Chi Books, Vietnam (2015)
  47. The Gioi Trong Mo (Colouring Book), Chi Books, Vietnam (2015)
  48. Malaysia (Colouring Book), Chi Books, Vietnam (2015)
  49. Thiên Nhiên Hát Ca (Colouring Book), Chi Books, Veitnam (2015)
  50. My Mothers Garden (Mandarin, animation) 2013, Moker

Buku terbaru Emila Yusof, Puteri Gunung Ledang, terbitan Oyez!Books.

PENCAPAIAN:

About Laila Nufa 19 Articles

Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.