Pesta Buku: Tip Penting ke Pesta Buku!

Assalamualaikum semua. Semoga sihat sejahtera selalu!

(Nampak tak kegembiraannya?)

Okey, sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur  (PBAKL) yang akan berlangsung bermula esok, 28 April sehingga 7 Mei 2017, kami di TABULAKATA.COM ingin mengucapkan selamat berpesta buku!

Pasti ramai dalam kalangan pembaca yang biasa ke PBAKL. Namun tidak kurang juga pengunjung yang baru pertama kali menjejakkan kaki ke pesta buku terbesar di Malaysia ini. Setiap tahun jumlah pengunjung yang mengunjungi PBAKL semakin bertambah. Tahun ini sahaja dijangka 2.5 milion pengunjung dengan jumlah reruai sebanyak 905 buah akan menjadikan PBAKL tahun ini terus meriah seperti tahun-tahun sebelumnya.

Apabila disebut ‘pesta’, tak kiralah pesta apa pun, pasti sudah dapat agak bagaimana situasi dan suasananya. Meriah, sesak, bising dan macam-macam lagi. Pengalaman peribadi saya berlegar di pesta buku sejak tahun 2009 memang banyak yang boleh diceritakan – kisah suka duka, pahit dan manis – yang kadangkala boleh menghilangkan mood seseorang apabila mengalaminya.

Jadi, mari kita baca beberapa tip yang boleh digunapakai dan diambil kira sebelum ke pesta buku.

Bersedia?

Jom!

 

TIP-TIP PENTING MERAIKAN PESTA BUKU

  1. Semak jadual penuh, lokasi dan maklumat penting kedudukan reruai pempamer. Maklumat lengkap ini boleh dilihat di: Pelan lantai:  http://kualalumpurbookfair.my/exhibition-info/floor-plan/ dan kedudukan pempamer: http://kualalumpurbookfair.my/exhibitor-list
  2. Pastikan juga senarai aktiviti dan acara menarik yang ditawarkan oleh penganjur dan pempamer. Anda boleh dapatkan maklumat ini melalui: http://kualalumpurbookfair.my/ atau cari nama pempamer dan catat maklumat penting tentang acara yang pihak pempamer tawarkan. Ini akan menentukan jadual perjalanan anda, pengangkutan ke sana, rancang tempoh waktu di pesta buku dan nikmati tawaran yang diberikan oleh pempamer.
  3. Gunakan pengangkutan awam atau jika mahu membawa keluarga atau berkenderaan sendiri, datanglah awal pagi.  Jika boleh datang pada hari bekerja, itu lebih baik (mohonlah cuti sehari) atau datang sahaja pada hujung minggu. Elakkan datang pada jam 11 pagi – 3 petang untuk elakkan ketiadaan parkir atau kesesakan luar biasa.
  4. Jika mahu beli buku dengan banyak. Bawalah troli kecil bagi mengelakkan anda membimbit beg plastik yang banyak. Jaga alam sekitar! Jika beli sikit, bawalah beg sandang belakang.
  5. Senaraikan buku yang mahu dibeli. Sekarang ini mudah. Boleh google sahala nama penerbit dan buku-buku yang mereka tawarkan.
  6. Pakai kasut yang sesuai.
  7. Sediakan tunai yang cukup.
  8. Resit simpan untuk tujuan cukai pendapatan, masuk pertandingan yang ditawarkan oleh pempamer dan hal-hal belakang hari.
  9. Jika boleh makan dahulu sebelum tiba di sana. Bukan soal makanan yang agak mahal (dalam PWTC) sahaja, tetapi juga keselesaan sendiri jika bawa keluarga. Boleh hilang sabar tu kalau lapar dan terpaksa menunggu lama.
  10. Elakkan berbual-bual mesra di laluan pengunjung apabila jumpa rakan lama. Ini akan mengganggu lalu lintas pengunjung. Carilah sudut yang sesuai untuk #throwback semua kenangan antara anda dengan kawan itu.
  11. Jika bawa anak kecil, pastikan stroller tidak mengganggu lalu lintas pengunjung. Cari sudut yang sesuai, ‘park’ stroller di situ dan carilah buku.
  12. Kenakan pakaian yang sesuai, yang bukan sahaja selesa untuk anda tetapi juga pengunjung lain. Jangan seksi okey! Ini bukan pesta buih.
  13. Berhemah ketika membeli – gunakan wang anda sebaiknya. Beli buku yang paling anda perlukan dan minati. Asingkan duit beli buku, pengangkutan dan makan minum.
  14. Jangan kecewa jika tidak dapat pergi ke PBAKL. Sekarang sudah ada khidmat belian secara dalam talian dan WhatsApp. Juga ada perkhidmatan ‘personal shopper’ yang anda boleh ‘kerahkan’ mereka untuk cari buku-buku yang anda mahu – tapi ada bayaran perkhidmatan la kan.
  15. Jangan minta buku percuma daripada penulis atau rakan editor. Belilah buku demi menyatakan sokongan anda kepada buku.

Tip tambahan!

  1. Untuk ibu bapa, pandai-pandailah layan anak anda agar tidak meragam di sana. Bawa mainan kecil atau makanan ringan (boleh bawa nuget/keropok dari rumah).
  2. Pastikan belon atau mainan yang anak anda pegang tidak mencederakan pengunjung lain. Ya, muka saya pernah dipukul dengan belon oleh seorang budak. Sakit woo…
  3. Jaga kebersihan diri. Pakai pewangi dan pastikan pakaian anda bersih demi menjaga keselesaan pengunjung lain.
  4. Tahu kedudukan surau dan tandas di dalam bangunan pesta buku.
  5. Hormati penerbit, staf yang bertugas, penulis dan pengunjung lain.
  6. Jangan mencuri buku.
  7. Pastikan bateri hp penuh. Bawa powerbank. Penting ni!
  8. Bawa air mineral, tisu basah dan keperluan kecil lainnya.
  9. Pastikan kesihatan anda tip top. Bawa bekalan ubat jika perlu.
  10. Pastikan keselamatan diri dan keluarga. Penjenayah ada di mana-mana!

 

 

Lagi?

Ha, banyak kan tip yang kami beri.

Boleh kongsikan tip-tip lain jika ada demi kebaikan sejagat.

Selamat berpesta!

MAKLUMAT PENTING:

 

Tarikh:         28 April – 7 Mei 2017

Tempat:       Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur Malaysia

Masa:         10 am – 7 p.m  (Monday– Thursday)

                             10 a.m – 9 p.m (Friday – Sunday & Public Holiday)

 

About Laila Nufa 19 Articles

Seorang pembaca, penjaga buku, penulis, pengembara malam.